KUMPULAN basikal klasik turut menyertai kayuhan.
KUMPULAN basikal klasik turut menyertai kayuhan.
Oleh Rosman Shamsudin


Tenang dan mendamaikan. Itu suasana yang dialami kira-kira 200 peserta Program Kayuhan Santai Malam (PKSM) yang diadakan di Slim River, Perak baru-baru ini.

Biarpun jarak kayuhan yang terpaksa ditempuh adalah sejauh 30 kilometer, kedinginan malam menjadikan kayuhan terasa dekat dan kurang terasa penat.

Namun, cabaran tetap ada berikutan kegelapan malam menjadikan jarak pandangan peserta terhad dan bergantung harap pada lampu yang dibawa.

Bermula di Tasik YDP, pelbagai ragam peserta dapat dilihat sepanjang kayuhan berikutan segelintir kali pertama membuat kayuhan pada waktu malam.

Namun, berbekalkan semangat tinggi dan ingin mencuba kelainan, semua itu ditempuhi dengan mudah hinggalah sampai ke garisan penamat di pekarangan rumah Presiden Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), Datuk Dr Kamarul Rashdan Salleh yang turut menyertai kayuhan itu.

Pengerusi PKSM, Muhd Fadzil Md Yasir, 37, berkata, program anjuran Kelab Bahasa dan Seni Budaya Tanjung Malim dengan kerjasama Trolak Cycling Team, Kelab Generasi Kedua FELDA Besout Tiga serta Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), Rukun Tetangga Kampung Kuala Slim, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) itu diadakan bagi merapatkan hubungan antara kumpulan peminat sukan berbasikal di Perak.

Katanya, biarpun kali pertama diadakan, sambutan diterima sangat menggalakkan dan menjadi bukti aktiviti berkenaan mampu menyatukan masyarakat.

“Kayuhan ini kita buka kepada semua. Kita tidak meng­khususkan kepada peminat sukan basikal lasak saja, tetapi memberi peluang kepada peminat sukan berbasikal seperti basikal klasik, ‘road bike’ dan ‘touring’ untuk berhimpun dalam satu program.

“Asalkan mereka berkemampuan memerah keringat dan kudrat untuk berkayuh bersama peserta lain, mereka boleh sertai kayuhan ini dan menikmati pengalaman serta persahabatan yang terbina,” katanya.

Menurut Muhd Fadzli, pihaknya bersyukur kerana program berjalan lancar tanpa membabitkan kecederaan kerana semua peserta saling bekerjasama dengan pasukan keselamatan yang mengawasi setiap pergerakan kayuhan itu.

Sementara itu, Kamarul Rash­dan mengakui sambutan diberikan peminat sukan basikal di daerah ini sungguh menggalakkan biarpun aktiviti dijalankan pada waktu malam.

Katanya, dalam konteks kemasyarakatan dan kesihatan, ia sesuatu yang positif dan membuktikan rakyat negara ini sebenarnya menggemari aktiviti sukan.

“Atas sebab ini, program ini akan kita adakan sekali setiap bulan dan tempatnya akan berubah untuk memberi peluang kepada semua peminat sukan basikal mengambil bahagian dalam kayuhan.

“Di samping itu, kita mahu menggalakkan anak muda meng­gunakan masa malam minggu dengan aktiviti sihat kerana aktiviti seumpama ini bukan hanya mampu menyihatkan badan tetapi juga boleh melahirkan generasi yang cergas tubuh dan minda,” katanya.

Peserta dari Kelab Behrang 2020, Zulkarnain Yaakob, 34, berkata, dia teruja menyertai kayuhan santai malam itu kerana kali pertama berbuat demikian.

“Bagi saya, program ini adalah aktiviti sihat dan berkayuh pada waktu malam sebenarnya lebih mencabar kerana memerlukan tumpuan yang lebih ketika ber­saing dengan peserta lain manakala kesilapan mengawal basikal tentu memberi risiko kepada peserta lain.

“Saya berharap program ini diteruskan dan saya yakin lebih ramai peserta lain akan turut serta kerana peminat sukan basikal di daerah ini semakin bertambah,” katanya.

Sementara itu, peserta wanita, Siti Shahira Ahmad Nizam, 15, yang ditemani ayahnya juga berpendapat pengalaman berkayuh pada waktu malam memang menyeronokkan.

Malah, dia yang meminati aktiviti berbasikal berpendapat kayuhan itu mampu menguji tahap kecergasan peserta selain medan latihan untuk individu yang gemar berlumba.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mei 2015 @ 5:03 AM