AZLAN memberi penerangan kepada peserta bengkel.
AZLAN memberi penerangan kepada peserta bengkel.
ANTARA peserta bengkel asas basikal.
ANTARA peserta bengkel asas basikal.
Rodly Fadly


Berbasikal kini menjadi aktiviti yang semakin popular dalam kalangan masyarakat di negara ini tidak kira usia dan jantina.

Malah, pelbagai program dianjurkan bagi penggemarnya sama ada berbentuk pertandingan mahupun sekadar untuk beriadah. Namun, di sebalik fenomena yang sedang melanda ini, sesuatu yang menggusarkan adalah kurangnya kesedaran masyarakat kita mengenai kepentingan memiliki ilmu berbasikal sebaliknya mereka mengambil sikap menunggang semberono tanpa memikirkan keselamatan diri.

Mereka beranggapan, asal boleh berkayuh, sudah layak untuk mendapat ‘lesen’ membabitkan diri dalam aktiviti itu sedangkan tanpa kemahiran, mereka terdedah kepada pelbagai risiko kemalangan.

Bagi jurulatih basikal, Azlan Mat Noor, penggemar sukan basikal mesti dididik supaya memahami bahawa berbasikal tidak sekadar mengayuh sebaliknya memerlukan teknik dan cara yang betul.

“Ada orang beranggapan tidak perlu belajar cara berbasikal kalau sekadar untuk tujuan suka-suka atau beriadah. Tanggapan ini sebenarnya salah kerana bukan orang yang hendak menyertai pertandingan sahaja perlu ada ilmu.

“Sebaliknya setiap orang yang mahu membabitkan diri dengan aktiviti ini perlu ada ilmu, sekurang-kurang asas. Tanpa ilmu, mereka berdepan dengan pelbagai risiko yang membahayakan diri malah mungkin boleh meragut nyawa,” katanya.

Menurut Azlan, kerana kecetekan ilmu atau sikap tidak mahu belajar, kebanyakan penggemar sukan basikal membuat kesilapan walaupun ia hanya perkara asas.

“Contohnya, dalam bab membeli basikal, ramai yang membuat kesilapan dengan mengutamakan jenama, bentuk fizikal serta aksesori basikal itu berbanding kesesuaiannya dengan diri mereka.

“Perkara asas yang perlu dilihat sewaktu membeli basikal ialah bukan berdasarkan sedap mata memandang tetapi ia perlu bersesuaian dengan tubuh kita. Kaedahnya sama seperti kita memilih pakaian, sama ada saiz S, M atau L, ia perlu disesuaikan dengan saiz dan bentuk badan kita,” katanya.

Azlan berkata, setiap penggemar sukan basikal perlu ada ilmu asas berbasikal kerana kalau sekadar boleh berkayuh, ia belum melayakkan mereka untuk menyertai aktiviti berbasikal.

“Setiap kayuhan itu mempunyai teknik tersendiri. Contohnya, cara kayuhan di jalan mendatar dengan jalan berbelok-belok adalah berbeza. Begitu juga bila anda berkayuh mendaki atau menuruni bukit, kombinasi teknik kayuhan, keseimbangan badan serta kawalan basikal memainkan peranan.

“Jika teknik kayuhan serta posisi badan tidak betul, ia boleh mengakibatkan penunggang jatuh dan mengalami kecederaan. Banyak perkara asas yang perlu dipelajari jika seseorang itu mementingkan keselamatan,” kata Azlan.

Bagi tujuan mengubah senario itu, Azlan yang berpengalaman selama 20 tahun sebagai pelumba serta memiliki sijil kejurulatihan yang diiktiraf Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persekutuan Lumba Basikal Kebangsaan Malaysia (PLBKM) mengambil inisiatif mewujudkan bengkel asas berbasikal.

Bengkel yang dijalankan pada setiap hujung minggu di Klang, Selangor, dihadkan kepada jumlah penyertaan kecil bagi membolehkan dia memberi tumpuan kepada peserta.

Dalam bengkel selama empat jam, peserta didedahkan kepada beberapa perkara asas berbasikal seperti teknik berkayuh, membelok, mengimbangi badan, mendaki serta menuruni bukit dan membrek.

Selain diberi tunjuk ajar secara teori oleh Azlan dan pembantunya, Iskandar Dzalman Yahya, peserta juga didedahkan kepada latihan praktikal di kawasan taman rekreasi berhampiran terutama membabitkan latihan mendaki dan menuruni bukit.

Apa yang menarik, walaupun kali pertama menyertai bengkel terbabit, peserta menunjukkan keyakinan tinggi untuk melakukan latihan ekstrem seperti mendaki serta menuruni bukit yang curam.

Seorang peserta, Sarina Mohd Yunos, 45, dari Seremban, yang mengakui baru menceburi aktiviti berbasikal berkata, bengkel itu memberi banyak ilmu kepadanya.

“Saya memang langsung tidak mempunyai asas dalam berbasikal. Malah, basikal ini baru saya beli semalam dan hari ini adalah hari pertama saya berkayuh.

“Saya tertarik untuk menyertai bengkel ini untuk mengetahui lebih mendalam mengenai cara berbasikal yang betul.

“Sebelum ini, seperti kebanyakan orang, saya menyangka asal boleh berkayuh, sudah boleh menyertai aktiviti berbasikal. Melalui bengkel ini, baru saya tahu, banyak kelemahan perlu saya perbaiki,” katanya.

Bagi jurutol, Azlina Kamaruddin, 33, walaupun sudah biasa menyertai aktiviti berbasikal bersama suami, Ahmad Bukhari Idris, bengkel itu meningkatkan lagi kemahirannya terutama mendaki dan menuruni bukit.

“Mendaki bukit bukan sahaja memerlukan kudrat malah teknik yang betul, jika tidak kita akan gagal sampai ke puncak. Begitu juga sewaktu menuruni bukit, saya mempelajari cara mengimbangi badan serta mengawal brek,” katanya.

Sementara itu, Faiq Nabil Ashraf Firdaus Ilham, 13, berkata, walaupun terdedah kepada aktiviti berbasikal bersama keluarga sejak kecil, dia tidak pernah mendapat didikan secara formal.

“Dengan menyertai bengkel ini, banyak perkara baru saya pelajari, antaranya teknik membrek yang betul. Malah, saya mampu meningkatkan kemahiran terutama di laluan berbukit dan berbengkang-bengkok,” ujar Nabil.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 April 2017 @ 7:39 AM