SHAMSUL Anuar (basikal depan) dan Mohd Shahir bersama jurumudi masing-masing ketika menamatkan kayuhan di Penjara Sungai Petani, hari ini. FOTO Omar Osman.
SHAMSUL Anuar (basikal depan) dan Mohd Shahir bersama jurumudi masing-masing ketika menamatkan kayuhan di Penjara Sungai Petani, hari ini. FOTO Omar Osman.
Omar Osman


BIARPUN cacat penglihatan, dua lelaki nekad untuk menamatkan kayuhan sejauh 1,505 kilometer (km), sekali gus mencatat nama dalam The Malaysia Book Of Records (MBOR).

Biarpun diuji dengan cuaca terik, Mohd Shahir Ramli, 28, berkata dia yakin dengan kerjasama erat jurumudinya Pahamin Abdul Hamid, 35, impian mereka akan tercapai.

Mohd Shahrir antara tiga peserta OKU yang mengambil bahagian dalam acara Kayuhan Basikal Jelajah Malaysia 2018 membabitkan 36 peserta bermula dari Rembau, Negeri sembilan pada 10 Mac lalu dan dijangka berakhir pada 25 Mac nanti di Dataran Teluk Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan.

"Biarpun cuaca begitu panas sejak mula berkayuh sembilan hari lalu, ia tidak sedikit pun melemahkan semangat saya untuk terus berkayuh.

"Keletihan memang terasa ketika mendaki bukit di Gerik sejauh 40km dan agak memeritkan, namun kekuatan fizikal dan mental serta kesabaran membolehkan saya dan jurumudi berjaya melepasi halangan.

"Dalam kayuhan ini, saya tidak terlalu memikirkan untuk mencatat rekod MBOR kerana ia boleh memberi tekanan dan apa yang penting adalah melengkapkan kayuhan, insya-Allah hingga ke garisan penamat," katanya ketika ditemui sebaik tiba di pekarangan Penjara Sungai Petani, hari ini.

Mohd Shahir dan Presiden Persatuan Sukan Rekreasi OKU Penglihatan Negeri Sembilan, Shamsul Anuar Amat Kasi, 47, bersama 36 peserta memulakan kayuhan dari Pusat Koreksional Perlis, di Arau, pada 9 pagi tadi dan tiba di Penjara Sungai Petani pada 5 petang.

Ketibaan mereka disambut Pengarah Penjara Sungai Petani, Raja Nazriz Iskandar Raja Azam serta kakitangannya.

Sementara itu, Shamsul Anuar berkata, selain dia dan Mohd Shahir, kayuhan itu turut sertai OKU cacat fizikal Azman Yeop Akin, 47, yang kudung kaki kanan.

Menurutnya, dia tidak menghadapi sebarang masalah sepanjang sembilan hari kayuhan kerana mendapat kerjasama baik rakan jurumudinya, Mohd Fahmi Ab Hamid, 35.

"Setakat ini, kami sudah melepasi tujuh destinasi dengan kayuhan sejauh 940km dan esok akan meneruskan kayuhan ke Taiping dan seterusnya hingga destinasi terakhir iaitu Dataran Teluk Kemang.

"Kayuhan ini sebenarnya bagi menunjukkan semangat solidariti pada semua pihak agar golongan OKU turut diberi keutamaan dalam pembangunan di negara ini, khususnya menerusi bidang sukan.

"Selain itu, ia mahu memperlihatkan sejauh mana semangat solidariti rakyat Malaysia terhadap golongan OKU, jadi dalam program kayuhan ini kita fokus kepada OKU cacat penglihatan sebagai pemegang rekod MBOR itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Mac 2018 @ 9:48 PM