BEBERAPA peserta yang berkayuh secara santai.
BEBERAPA peserta yang berkayuh secara santai.
Mohd Azam ShahYaacob


Tubuh sihat, amal kebajikan pun dapat. Itu cara mudah kira-kira 200 peserta Kayuhan Kemanusiaan #Care4Hunger, berbakti sambil beriadah secara sihat dalam program yang diadakan di Putrajaya, baru-baru ini.

Bermula di pekarangan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (MTMZA), kayuhan kemanusiaan berkenaan adalah program anjuran Islamic Relief Malaysia (IRM) dengan kerjasama MTMZA bagi mengutip dana untuk mengisi tabung IRM. Setiap dana dalam tabung IRM pula akan dimanfaatkan untuk misi kemanusiaan di negara yang dilanda peperangan atau musibah.

Dirasmikan oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari, acara pelepasan kayuhan yang bermula jam 6 pagi itu disempurnakan oleh isteri beliau, Toh Puan Siti Nurbiha Mohd Bisharuddin.

Menariknya keseluruhan kayuhan ini disertai oleh peserta yang datang seisi keluarga, menjadikannya medan aktiviti kekeluargaan dengan ciri keislaman dan kemanusiaan terbaik untuk mendidik dan memupuk anak agar saling membantu insan kurang bernasib baik dan memerlukan pertolongan.

Dalam program itu, peserta berkayuh sejauh 15 kilometer selepas solat Subuh berjemaah di MTMZA sebelum menamatkan kayuhan sekitar jam 10 pagi.

Berbeza daripada mana-mana program kayuhan lain, kayuhan kemanusiaan ini memberi kesedaran kepada peserta mengenai isu kemanusiaan di sepanjang perjalanan sehingga ke garisan penamat.

Keunikan yang ditampilkan dalam program ini ialah setiap peserta perlu melalui tiga tempat semak (checkpoint) yang menampilkan tema berbeza dengan mengetengahkan isu atau projek IRM di dalam serta luar negara seperti Palestin, bantuan musim sejuk dan Gift of Hope di Malaysia.

Menerusi tema di tiga tempat semak itu, peserta tidak melepaskan peluang untuk merasai sendiri penderitaan dan kesukaran yang dialami oleh insan serta masyarakat lain yang kurang bernasib baik.

Paling tersentuh, apabila sukarelawan di setiap tempat semak melakonkan sketsa penderitaan negara bergolak akibat peperangan selain mengalami masalah kebuluran. Terbit rasa insaf dan bersyukur dengan kedamaian serta kemakmuran yang dikecapi hingga hari ini. Malah, ramai tidak sabar untuk menyumbang ke dalam tabung sumbangan di garisan penamat.

Ketiga-tiga tempat semak itu mendapat sentuhan sukarelawan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dengan dibantu kakitangan IRM.

Selain itu, penganjur juga menyediakan hadiah istimewa buat peserta yang hadir dengan membawa dua botol minyak masak seberat dua kilogram atau membeli kupon sumbangan bernilai sekurang-kurangnya RM20.

Minyak masak yang dikumpulkan akan digunakan sebagai item dalam bantuan pek makanan pada Ramadan nanti.

Pengurus Bahagian Charity Shoppe & Events IRM, Datin Norelan Ismail berkata, pihaknya mengadakan kayuhan kemanusiaan sedemikian sebagai antara cara untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat selain membantu memungut dana kutipan bagi misi kemanusiaan IRM.

“Alhamdulillah, biarpun kali pertama kita perkenalkan konsep kayuhan kemanusiaan begini, respons peserta sangat menggalakkan.

“Jika kebiasaannya program kayuhan menyediakan hadiah kemenangan pada akhir kayuhan, dalam program ini, setiap peserta mendapat kesedaran mengenai isu kemanusiaan sepanjang perjalanan sehingga ke garisan penamat.

“Paling utama, kita dapat lihat peserta kini lebih mengerti keperluan sumbangan mereka demi kelangsungan hidup insan yang kurang bernasib baik,” katanya.

Dalam program itu, basikal yang digunakan Jailani untuk berkayuh dilelong dan duit jualannya disalurkan kepada tabung IRM. Malah, program berkenaan juga berjaya mengutip dana keseluruhan sebanyak RM5,671.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 April 2016 @ 5:00 AM