AEYDAN tampil dengan single pertama berjudul Bintang.
AEYDAN tampil dengan single pertama berjudul Bintang.
Najiy Jefri


Aeydan satu nama yang mempunyai aura tersendiri. Dalam bahasa Greek atau latin sebutannya Eden bermaksud satu tempat yang cantik dan indah.

Sebutan perkataan Aeydan juga lebih bersifat moden, klasik dan futuristik. Disebabkan itu, kumpulan nasyid yang memperkenalkan diri sebagai Aeydan ini begitu semangat menempa nama dalam bidang seni.

Menurut Ilham, sebagai komuniti kumpulan nasyid yang baharu, mereka sangat dahagakan sesuatu yang segar dan menepati cita rasa sebagai anak muda.

"Aeydan adalah artis berkumpulan dianggotai enam anak muda 20-an yang mempunyai tanggungjawab besar sebagai pelapis nasyid.

"Kami memiliki tugas berat kerana semua anggota Aeydan adalah anak didik kumpulan nasyid Rabbani.

"Malah, saya juga adalah anak keempat kepada vokalis kumpulan Rabbani, Allahyarham Ustaz Asri Ibrahim yang sebelum ini aktif dalam menyebarkan mesej positif dan keagamaan kepada pendengar," katanya.

LAGU Bintang terima sentuhan kumpulan nasyid terkenal.
LAGU Bintang terima sentuhan kumpulan nasyid terkenal.

Optimis untuk mencipta nama dalam bidang seni, Aeydan tampil dengan single pertama berjudul Bintang.

"Bintang mendapat sentuhan kreatif daripada komposer terkenal, Daqmie dan Wan Saleh yang sinonim dengan genre nasyid moden.

"Bintang adalah menceritakan tokoh yang banyak berjasa dalam dunia dakwah khususnya penasyid generasi awal.

"Antaranya adalah kumpulan Raihan, Rabbani, Hijjaz, Saujana dan Nowseeheart. Mereka ini adalah idola Aeydan dan jasa mereka menyebarkan syiar Islam dikenang dan disambung," kata Farhan.

Tambah Izwan, Bintang juga mendapat bantuan daripada kumpulan Saujana, Nowseeheart dan Rabbani melalui label Scriptology Music dan Rabbani Empire Resources.

"Beberapa siri perkongsian ala 'Kelas Nasyid Ekspres' boleh ditonton peminat di laman Youtube Scriptology Music.

"Selain itu, muzik video Bintang diterbitkan Kashfy Studio dan diarahkan Suhairil Izham. Satu mesej besar yang dibawa pengarah dalam muzik video ini adalah 'Dari Banting ke Bintang'. Tanpa ilmu, usaha dan impian tinggi tak mampu dicapai," katanya.

Selain Ilham, Izwan dan Farhan, Aeydan turut dianggotai Haikal, Fardeen dan Alif.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Oktober 2023 @ 6:20 AM