Rabbani
Rabbani
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Kumpulan nasyid terkenal, Rabbani melahirkan perasaan gembira dan bertuah apabila menutup kalendar 2023 dengan Konsert Gendang Madani yang berlangsung di Tapak Parkir MITC Melaka, malam ini.

Ketua kumpulannya, Azadan Abdul Aziz berkata, selain mereka, konsert yang berlangsung selama satu jam setengah ini turut menampilkan Daqmie, Dendang Anak, Saujana, Aeydan serta Anas & Friend.

"Alhamdulillah... kami diberikan kepercayaan mengendalikan konsert ini di bawah Rabbani Empire Resources dengan kerjasama Jom Santai Food Festival, Naurah Tour dan mendapat sokongan dari Toursim Malaysia.

"Kami mengharapkan sokongan peminat agar hadir beramai-ramai ke acara ini yang akan berlangsung sehingga esok.

"Ada banyak aktiviti disediakan antaranya jualan makanan dan pelbagai yang lain. Pengunjung bertuah akan layak memenangi hadiah cabutan bertuah berupa pakej percutian sumbangan Naurah Tour," katanya.

Menurutnya, tema Gendang Madani dipilih bertujuan menyambut kedatangan Tahun baru 2024 dan juga menarik pelancongan di Melaka dan Malaysia.

"Dari zaman dahulu, gendang adalah alat yang digunakan untuk menyambut tetamu dan pembesar dari dalam dan luar negara.

"Bahkan, Rabbani juga menjadikan gendang sebagai alat utama dalam penghasilan sesuatu karya lagu nasyid itu sendiri," katanya.

Rabbani yang ditubuhkan pada 1 Mac 1997 popular dengan pelbagai lagu antaranya Intifada, Pergi Tak Kembali dan Anak Soleh.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Disember 2023 @ 2:05 PM