LINDA pegang watak Siti Udaya dalam teater muzikal Lantai T Pinkie.
LINDA pegang watak Siti Udaya dalam teater muzikal Lantai T Pinkie.
Ramlah Zainal


Barangkali nama penyanyi kelahiran Ranau, Sabah, Linda Nanuwil seperti tenggelam timbul di persada hiburan tanah air.

Hakikatnya, naib juara Akademi Fantasia musim kedua (AF2) ini lebih selesa kurang menonjolkan diri kerana tidak mahu terpalit gosip dan kontroversi yang boleh menjejaskan nama baiknya.

Menurut Linda atau nama sebenarnya, Norlinda Nanuwil, 39, dia juga sudah menetap di Kuala Lumpur selepas menyertai program realiti Gegar Vaganza musim ketujuh (AF7) pada 2020.

"Saya juga memilih untuk menetap di Kuala Lumpur bagi memudahkan urusan karier seni di sini. Selepas negara dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), karier nyanyian saya agak perlahan," katanya.

Bagaimanapun, kata Linda, selepas PKP berakhir dan keadaan ekonomi semakin pulih, kerjaya seninya kembali rancak seperti biasa.

"Saya banyak buat persembahan bersama StarVendors yang dikendalikan kak Ifa Raziah. Selain itu, saya juga berlakon telemovie arahan abang Aziz M Osman," katanya ketika ditemui di majlis pelancaran muzikal Lantai T Pinkie di Menara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Hadir sama, Penerbit CTRA Production, Siti Rohayah Attan atau Kak Roy.

Menerusi pementasan berdasarkan karya agung Sasterawan Negara (SN), Datuk Seri A Samad Said itu, Linda diberi kepercayaan memegang watak penyanyi kabaret bernama Siti Udaya yang pernah dilakonkan Abby Abadi pada pementasan pada 2006.

Menurut Linda, dia juga berdepan cabaran tersendiri untuk melakonkan watak penyanyi kabaret dalam muzikal arahan Dr Rosminah Mohd Tahir itu.

"Saya terima tawaran untuk berlakon dalam teater ini kerana watak Siti Udaya juga seorang penyanyi.

"Selain menyanyi, saya juga perlu menari dan bermonolog. Mujur, saya tidak perlu menari sepanjang masa dalam teater ini kerana saya memang 'kayu' dan bukannya seorang penari," katanya yang popular dengan lagu Jika Kau Kekasih itu.

Ditanya cabaran berlakon teater, Linda mengakui dia berasa bimbang kerana menyanyi tidak sama dengan beraksi di pentas teater.

"Jika kita menyanyi dan lupa lirik, kita boleh hulur mikrofon pada penonton untuk menyanyi bersama. Tapi kalau di pentas teater, jika kita lupa dialog, memang habislah kerana ia akan menjejaskan lakonan," katanya.

Muzikal Lantai T Pinkie bakal menemui penonton selama tiga hari mulai 6 hingga 8 Oktober ini di Balai Budaya Tun Syed Nasir, DBP.

Selain Linda, teater ini menampilkan gandingan bakat baharu iaitu pelakon dan penyanyi Zera Hariz dan Faysal Saad selalu teraju utamanya.

Ia dimantapkan lagi dengan penampilan barisan pelakon seperti Nabila Huda, Datuk Jalaluddin Hassan, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, Carolyne Kamba, Zaifri Husin, Serra Kamal dan Ewan Fauzi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Oktober 2023 @ 6:20 AM