Nabila Huda sidang media Muzikal Lantai T Pinkie yang akan dipentaskan pada 7 dan 8 Oktober ini di DBP Kuala Lumpur. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Nabila Huda sidang media Muzikal Lantai T Pinkie yang akan dipentaskan pada 7 dan 8 Oktober ini di DBP Kuala Lumpur. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Ramlah Zainal

 

Kuala Lumpur: Pelakon popular Nabila Huda mengakui dia tidak senang duduk serta sukar tidur pada waktu malam, gara-gara watak Nyai Sunarti dalam Teater Muzikal Lantai T Pinkie.

Menurut Nabila atau nama sebenar, Nabila Huda Suhaimi, 39, watak Nyai Sunarti dalam teater arahan Dr Rosminah Tahir itu juga paling mencabar kemampuannya sepanjang berkecimpung dalam bidang lakonan.

"Saya terima tawaran buat teater muzikal ini kerana mahu menyahut cabaran buat monolog yang panjang serta tidak pernah dilakukan sebelum ini.

"Namun, ia bukan sesuatu yang mudah kerana watak Nyai Sunarti bukan sahaja perlu berdialog dalam bahasa Indonesia, saya juga perlu bermonolog, menyanyi dan menari," katanya kepada Harian Metro.

Nabila ditemui pada sidang media Teater Muzikal Lantai T Pinkie yang berlangsung di Menara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini, semalam. Hadir sama, Sasterawan Negara, Datuk Seri A Samad Said dan Penerbit teater, Siti Rohayah Atan.

Mengulas watak Nyai Sunarti lagi, kata Nabila, dia juga terbawa-bawa karakter Nyai Sunarti hingga ke rumah.

"Suami juga berasa risau bila melihat keadaan saya yang menghafal monolog Nyai Sunarti siang dan malam di rumah.

"Saya bukan sahaja 'over thinking' dan pernah juga berasa putus asa kerana bimbang tidak dapat bawa watak Nyai Sunarti dengan baik tetapi suami tetap beri semangat untuk saya sahut cabaran itu," katanya.

Sementara itu, kata Nabila, dia juga merancang untuk bertemu dengan pengarah terkenal, Erma Fatima seminggu sebelum pementasan Teater Muzikal T Pinkie untuk meminta tips bagi menjiwai watak terbabit.

"Mama Erma (Erma Fatima) pernah melakonkan watak Nyai Sunarti pada pementasan terdahulu dan saya harap dia dapat membantu saya untuk mendapatkan 'roh' watak itu.

"Ketika saya hubunginya baru-baru ini, dia (Erma) beritahu supaya saya tidak memalukannya kerana dia yakin, sebagai pelakon yang pernah menang anugerah, saya boleh melakonkan watak Nyai Sunarti dengan baik," katanya.

Selain Nabila, teater ini menampilkan barisan pelakon seperti Zera Hariz, Faysal Saad, Linda Nanuwil, Datuk Tamimi Siregar, Datuk Jalaluddin Hassan, Zaifri Husin, Zuhairi Ibrahim, Carolyne, Serra Kamal, Ewan Fauzi dan Syahril Kadir.

Teater Muzikal Lantai T Pinkie yang juga karya Datuk Seri A Samad Said ini bakal dipentaskan di Balai Budaya Tun Syed Nasir, DBP, Kuala Lumpur pada 6 hingga 8 Oktober ini.

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 September 2023 @ 11:15 AM