Oleh Rudy Imran Shamsudin


Minat mengembangkan bakat dalam semua cabang seni, membuatkan Shiha menerima tawaran daripada pengarah Erma Fatima membintangi teater muzikal Tahajjud Cinta yang dipentaskan di Istana Budaya dari 3 hingga 7 Januari lalu.

Shiha atau nama sebenarnya Nurshiha Mohd Zikir menggantikan Datuk Siti Nurhaliza pada hari tertentu menyanyikan beberapa lagu dalam drama teater mengangkat kisah hidup Rasulullah SAW.

Bukan itu saja, Shiha terbabit dalam satu babak memegang watak Nurfiasah, wanita Arab yang hidup di zaman sebelum kedatangan Islam.

Sebelum berlakon teater ini, penyanyi yang dicungkil bakatnya menerusi program Mentor musim kelima, pernah berlakon drama rantaian Terukir Di Bintang.

Shiha turut berjinak-jinak dengan dunia pengacaraan dan pernah mengendalikan program Jalan-Jalan Cari Makan dan terbaru, Jurnal Mentor Legend.

Anak didik Allahyarham Datuk Sharifah Aini ini akui seronok diberi peluang mencuba bakat di pentas teater, apatah lagi berganding dengan ramai pelakon ternama seperti Ellie Suriaty, Datin Seri Umie Aida, Awie dan Amy.

Keseronokan dirasai dapat dilihat apabila hampir setiap hari Shiha memuat naik kostum digayakan dalam pementasan ke laman sosial Instagram untuk dikongsi bersama peminat.

Ternyata tindakannya mengundang komen negatif pihak tertentu yang mempersoalkan pemakaian tudung untuk pementasan itu. Shiha cuba menjelaskan, kostumnya disesuaikan dengan wataknya dalam teater itu.

Bagaimanapun, penjelasannya dilihat cuba menyindir pejuang papan kekunci (keyboard warrior).

Kata Shiha, sebelum ini ramai bercakap dan menegur cara dia memakai hijab dalam pementasan Tahajjud Cinta. Baginya, mereka yang menegur itu tidak faham dan tidak tahu.

“Saya pada peringkat awalnya mengenakan hijab dan menutup aurat sesempurna mungkin. Pada saya, jika memegang watak wanita bertudung, biar saya melaksanakan dengan cara betul supaya orang ramai tidak keliru.

“Bagaimanapun, jabatan seni pementasan Tahajjud Cinta menjelaskan, cara saya pakai untuk watak saya adalah salah kerana dia wanita Arab zaman dulu dan mereka memang memakai hijab tetapi nampak leher,” katanya.

Katanya, ada pelawat di Instagramnya menyindir dengan mengatakan jika mahu bertudung, biar pakai betul-betul.

“Masalahnya, watak yang saya bawa menuntut saya berpakaian sebegitu rupa. Saya cuba menjelaskan apabila ada yang menegur supaya tidak timbul kekeliruan.

“Apa yang boleh saya lakukan ialah menaikkan status dengan menjelaskan pemakaian hijab disesuaikan dengan watak dibawa. Lainlah kalau saya memang berhijab dan memakai pakaian sebegitu, memang tidak betul dan salah.

“Bayangkan sekarang saya tidak berhijab pun apabila tampil dengan gambar begitu sudah dikecam sedemikian rupa,” katanya.

Walaupun semakin mencintai dunia lakonan, kata Shiha, dia tetap mendahulukan nyanyian kerana bidang itu terlebih dulu diceburi bukan saja sejak menyertai Mentor, malah sejak usia tujuh tahun.

“Saya berlakon dan mengacara selepas Mentor tetapi saya menyanyi sejak kecil. Jadi apa-apa pun, saya akan dahulukan bidang nyanyian,” katanya.

Untuk 2015, Shiha mengorak langkah untuk bergerak sendiri memandangkan kontrak rakamannya dengan syarikat Monkey Bone berakhir bulan ini, manakala kontrak pengurusan artis pula akan tamat Mei depan.

“Memandangkan kontrak tamat tahun ini, saya mahu menghasilkan single terbaru mengikut cita rasa sendiri. Sebelum ini kebanyakan lagu yang saya nyanyikan ideanya datang dari syarikat rakaman dan pengurusan dan saya tidak pernah berpeluang mendapatkan lagu yang menepati cita rasa saya.

“Saya tidak mahu lagi menyanyi lagu yang orang suruh nyanyi atau ikut cita rasa orang. Peluang untuk bergerak bebas ini akan saya gunakan sebaik mung­kin bagi merencanakan kerjaya seni saya demi masa depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 January 2015 @ 5:06 AM