LINDA Nanuwil. FOTO Hazreen Mohamad
LINDA Nanuwil. FOTO Hazreen Mohamad
Ramlah Zainal

Kuala Lumpur: "Memang ada suami orang yang mengajak saya berkahwin tetapi saya tolak cara baik kerana tidak mahu menjadi 'penyondol'," kata bekas naib juara Akademi Fantasia musim kedua (AF2), Linda Nanuwil.

Linda berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada dirinya pernah didekati suami orang sebelum ini.

Menurut Linda atau nama sebenarnya, Norlinda Nanuwil, 39, bukan sahaja lelaki berstatus suami orang, malah, ada juga golongan kenamaan yang cuba mendekati dirinya.

Namun, kata penyanyi dan pelakon kelahiran Ranau, Sabah ini, dia memang cuba mengelak untuk berkawan dengan suami orang kerana tidak sanggup melukakan hati wanita lain.

"Selalunya, bila saya dapat tahu lelaki itu berstatus suami orang, saya akan menjauhkan diri dan menolak untuk bertemu secara baik contohnya beritahu ada komitmen lain dan sebagainya.

"Terus terang, saya tidak berminat untuk menjalin hubungan dengan suami orang kerana saya akan letakkan diri sendiri dalam situasi isteri lelaki terbabit.

"Saya juga tidak suka berkongsi kasih atau dimadukan kerana mahu lelaki itu hanya mencintai diri saya sahaja," katanya kepada Harian Metro.

Linda ditemui pada sidang media Teater Muzikal Lantai T Pinkie arahan Dr Rosminah Tahir yang berlangsung di Menara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini, semalam.

Menerusi pementasan berdasarkan karya agung milik Sasterawan Negara, Datuk Seri A Samad Said, Lantai T Pinkie ini, Linda melakonkan watak sebagai Siti Udaya.

Bagaimanapun, ketika ditanya statusnya sekarang, Linda mengakui dia sudah memiliki teman istimewa ketika ini.

"Saya belum pernah berkahwin atau memegang status janda seperti tanggapan orang.

"Apa yang saya boleh kongsikan, saya sudah ada teman istimewa tetapi si dia bukanlah berstatus suami orang. Buat masa ini, saya belum bersedia untuk dedahkan identiti dirinya lagi," katanya.

Terdahulu, Linda pernah digosipkan sudah berkahwin dengan seorang VIP, namun, dia menafikannya. Dakwaan itu timbul selepas Linda secara tiba-tiba menghilangkan diri dari industri hiburan tanah air.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 September 2023 @ 2:40 PM