A SAMAD Said bersama pengarah, Dr Rosminah Tahir dan barisan pelakon pada sidang media Muzikal Lantai T Pinkie yang akan dipentaskan pada 7 dan 8 Oktober ini di DBP Kuala Lumpur. FOTO Hazreen Mohamad
A SAMAD Said bersama pengarah, Dr Rosminah Tahir dan barisan pelakon pada sidang media Muzikal Lantai T Pinkie yang akan dipentaskan pada 7 dan 8 Oktober ini di DBP Kuala Lumpur. FOTO Hazreen Mohamad
Ramlah Zainal

Kuala Lumpur: Penerbit Teater Muzikal Lantai T Pinkie, Siti Rohayah Attan menerima kritikan dengan hati terbuka apabila ada pihak mempersoalkan pemilihan penyanyi dan pelakon baru, Zera Hariz, 28, sebagai watak utama dalam pementasan terbaru berkenaan.

Siti Rohayah berkata, pihaknya yakin Zera adalah pelakon generasi baru yang tepat untuk melakonkan watak utama sebagai T Pinkie dalam muzikal terbabit.

"Watak T Pinkie memerlukan pelakon muda untuk melakonkannya kerana dia watak seorang penari remaja. Takkanlah saya nak menawarkan watak T Pinkie semula kepada Nasha Aziz kerana dia sudah berusia 52 tahun," katanya ketika diminta mengulas pemilihan Zera sebagai watak utama dalam pementasan kali keenam, Teater Muzikal Lantai T Pinkie yang mengangkat naskhah dari karya Sasterawan Negara, Datuk Seri A Samad Said yang pernah mencetuskan fenomena sebelum ini.

Sebelum ini, watak T Pinkie pernah diterajui pelakon dan penerbit terkenal, Puan Sri Tiara Jacquelina pada pementasan 1997, Nasha Aziz (2000) dan Vanidah Imran (2006).

Ditanya pemilihan Zera lagi, kata Siti Rohayah, pelakon itu pernah bekerjasama dengannya dalam beberapa projek teater terbitannya sebelum ini seperti Teater Nyonya, Nyonya & The Gang, Ombak Rindu dan Upin & Ipin The Musical.

"Zera bukan saja boleh berlakon, dia juga boleh menyanyi dan menari dengan baik. Dia juga sudah tahu cara saya dan produksi bekerja sebelum ini.

"Pada masa sama, pihak kami juga mahu menggilap bakat pelakon pelapis untuk terus menyemarakkan lagi bidang teater tanah air," katanya.

Sementara itu, Zera pula tidak kisah jika ada pihak yang akan membandingkan lakonannya dengan pelakon terdahulu seperti Nasha dan Vanidah.

Menurut Zera atau nama sebenarnya, Nur Nazira Harizan, dua pelakon hebat itu yang pernah beraksi sebagai T Pinkie pada pementasan terdahulu juga adalah idolanya dalam bidang lakonan.

"Saya sedar diri masih baru dalam bidang teater dan pastinya penonton akan membandingkan lakonan saya dengan kedua aktres berpengalaman terbabit.

"Saya juga tidak berpeluang menonton lakonan Vanidah atau Nasha sebagai T Pinkie dalam teater terbabit sebelum ini. Sebagai pelakon baru, saya hanya menjadi diri sendiri," katanya.

Teater terbitan CTRA Production ini akan dipentaskan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur pada 6 hingga 8 Oktober ini.

Selain Zera, ia turut menampilkan lakonan Nabila Huda, Linda Nanuwil, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, Datuk Jalaluddin Hassan, Faysal Saad, Serra Kamal, Zaifri Husin, Zuhairi Ibrahim dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 September 2023 @ 4:32 PM