SHEIKH Nordin Sheikh Ahmad
SHEIKH Nordin Sheikh Ahmad
Fatin Farhana Ariffin


Kuala Lumpur : Suami kepada pelakon Datin Seri Noniswara Baharuddin iaitu Datuk Seri Dr Sheikh Nordin Sheikh Ahmad menghembuskan nafas terakhir akibat strok jam 10.16 malam, di sebuah hospital swasta, di sini, semalam.

Nonis, 54, berkata, jenazah suaminya yang berusia 60 tahun itu sudahpun dimandikan dan disembahyangkan di Masjid Mustaqim, Ampang, Selangor dan kini dalam perjalanan kampung halamannya di Kuala Krau, Temerloh, Pahang untuk dikebumikan.

"Arwah sudah sebulan duduk di hospital sebab terkena strok. Kami agak lambat bawa arwah ke hospital, tetapi ajalnya sudah tiba.

"Arwah sudah 28 jam kena strok baru kami bawa ke hospital.

"Dua minggu pertama keadaan arwah okay, tetapi terkena jangkitan kuman di paru-paru. Selepas 34 hari di hospital, arwah nazak di Unit Rawatan Rapi (ICU), semalam.

"Sekarang kami dalam perjalanan ke tempat kelahiran arwah di Kuala Krau dan ibu bapanya. Rumah tahfiz yang dibina juga ada di sana," katanya.

Nonis mendirikan rumah tangga dengan usahawan berkenaan sejak sembilan tahun lalu. Bagaimanapun, tidak dikurniakan cahaya mata.

Mengenang sifat arwah, Nonis tidak dapat menahan sebak kerana arwah cukup disenangi, suka bergurau dan manja.

"Arwah suka bergurau, baik hati, merendah diri dan banyak cakap. Selama sembilan tahun saya hidup bersamanya, arwah suka hiburkan hati saya.

"Iyalah memang sedih sebab benda baru berlaku, sangat terkejut, rindu pada arwah sebab saya banyak meluangkan masa bersamanya.

"Sembilan tahun hidup bersama, arwah memang manja orangnya," katanya.

Allahyarham Sheikh Nordin juga bapa mentua penyanyi MK K-Clique. MK atau Muhammad Hairi Amin Hamdan, 27, berkahwin dengan Siti Hajaar Sheikh Nordin pada 16 Jun lalu.

Allahyarham dikenali sebagai individu yang mesra dan merendah diri. selain gemar melakukan kerja kebajikan terutama membabitkan pengajian agama.

Sejak tahun lalu, Syeikh Nordin menjadikan rumah agam miliknya di Kampung Batu Gading, Temerloh dinamakan Dato' Syeikh Residences sebagai pusat tahfiz dan sekolah agama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Oktober 2023 @ 1:28 PM