AHLI keluarga menguruskan jenazah Jasme. FOTO Ihsan pembaca.
AHLI keluarga menguruskan jenazah Jasme. FOTO Ihsan pembaca.
Ahmad Hasbi


Seremban: Jurukamera TV3, Jasme Saidin, 48 meninggal dunia di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), di sini, hari ini, selepas lebih 20 hari terlantar akibat diserang strok.

Allahyarham yang mesra disapa 'Haji' dalam kalangan rakan media sebelum ini pernah tular apabila menggendong seorang wanita warga emas yang mengalami sesak nafas ketika berada di tanah suci.

Isterinya, Norraishah Mohamad berkata, arwah dimasukkan ke hospital pada 30 Jun lalu selepas mengalami lumpuh separuh badan di sebelah kiri.

"Arwah mengadu tidak sedap badan selain sesak nafas ketika tidur. Bimbang dengan keadaannya, saya menghubungi ambulans sebelum dibawa ke HTJ dan doktor mengesahkan dia mengalami strok separuh badan.

"Sepanjang rawatan, keadaan arwah semakin baik, malah sempat menjalani fisioterapi. Namun, pada 19 Julai lalu, dia mengalami demam," katanya.

Jenazah Allahyarham dibawa ke Masjid Ibnu Khaldun, Lavender Heights, di sini untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ipoh, dekat Kuala Pilah, kira-kira jam 11.40 pagi tadi.

Allahyarham yang kini menjadi jurukamera sambilan TV3 meninggalkan tiga anak masing-masing berusia 11, 21 dan 24 tahun.

Norraishah berkata, suaminya dipindahkan ke wad jantung untuk dipantau doktor kerana organ berkenaan bengkak serta denyutannya terlalu laju dipercayai akibat jangkitan kuman.

"Terdapat banyak darah beku dari kaki sampai ke dada. Doktor memanggil saya dan memberikan penerangan selain saya diminta bersedia jika berlaku apa-apa dan saya reda," katanya.

Dia berkata, memohon maaf sekiranya arwah ada tersilap kata dan perbuatan sepanjang berkhidmat di TV3, mohon ampun dan maaf kepada semua sahabatnya.

Mengimbau kejadian pada 2014, ketika Jasme bersama 22 petugas media Tabung Haji (TH) baru selesai melakukan ibadah melontar dan menuju ke maktab penginapan jemaah haji Malaysia.

Ketika memasuki terowong Al Muasim, kumpulan petugas media yang bergerak secara berkumpulan ternampak seorang jemaah haji Malaysia tidak bermaya di tepi laluan pejalan kaki.

Petugas media berhenti dan didapati wanita warga emas itu lemah akibat sesak nafas. Disebabkan warga emas berkenaan tidak mampu berjalan, Jasme kemudiannya mengambil keputusan menggendong wanita berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Julai 2023 @ 2:43 PM