Allahyarham Wahid Satay
Allahyarham Wahid Satay
Fatin Farhana Ariffin


Kuala Lumpur: Seniman Legenda, Allahyarham Wahid Satay, 93, tidak bermaya dan hanya terlantar di katil sejak seminggu lalu, sebelum menghembuskan nafas terakhir di kediaman anak keduanya di Teban Gardens Road, Singapura, pagi ini.

Cucunya, Mahirah Mohd Yasin, 38, berkata, arwah datuknya menetap dengan ibu bapanya selepas selepas pemergian arwah nenek, Allahyarham Azimah Mohd Taib pada 1994.

"Arwah menghembuskan nafas terakhir di rumah ibu bapa saya kerana menetap bersama kami.

"Jika diikutkan arwah tidak boleh bangun dan hanya terlantar di katil dalam biliknya sejak seminggu lalu.

"Arwah sempat meraikan Aidilfitri bersama kami, namun kesihatannya merosot selepas beberapa hari menyambut raya.

"Kami membawa arwah ke hospital, namun dibawa pulang dan dipantau berehat di rumah," katanya.

Kata Mahirah, arwah datuknya mempunyai penyakit jantung dan diabetes.

"Ibu jari kakinya pula ada jangkitan kuman. Bulan lalu arwah dimasukkan ke hospital disebabkan jangkitan ini dan serangan jantung ringan," katanya.

Wahid yang juga bapa kepada enam cahaya mata dan datuk kepada lebih 20 cucu itu disifatkan sebagai seorang yang penyayang.

Mahirah berkata, dia berterima kasih meskipun arwah datuknya sudah lama tidak aktif dalam bidang seni, namun masih diingati.

"Terima kasih mengambil tahu mengenai pemergian arwah. Doakan yang baik-baik buat arwah datuk," katanya yang tidak dapat menahan sebak.

Jenazah Allahyarham Wahid akan dibawa ke Pusara Aman, Singapura pada jam 1 tengah hari untuk dimandikan dan diuruskan pengebumian.

Menjadi sebahagian sejarah kegemilangan filem Melayu klasik antara era 1950-an hingga 1960-an, Wahid atau nama sebenarnya, Abdul Wahid Ahmad terkenal dengan filem terbitan studio Cathay Keris seperti Pontianak pada 1957, Sumpah Pontianak (1958), Che Mamat Parang Tumpul (1960) dan Badang (1962).

Kerjaya lakonannya bermula ketika bekerja di studio sebagai tukang cat sebelum ditawarkan menjadi pelakon tambahan dalam filem Pertaruhan sekitar 1940-an.

Kehebatan Wahid yang boleh meniru suara haiwan seperti ayam dan burung juga satu kelebihan suaranya sering kali digunakan sebagai latar belakang bagi filem tertentu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Mei 2023 @ 12:16 PM