Noor Kartini Noor Mohammed
Noor Kartini Noor Mohammed
Georgie Joseph


Putrajaya: Ibu Neelofa iaitu Noor Kartini Noor Mohammed, 57, bersyukur tiada seorang pun anaknya terbabit aktiviti tidak baik termasuklah Ameera Khan, 22, yang difitnah terbabit dengan aktiviti perjudian, baru-baru ini.

Noor Kartini berkata, dia sebenarnya tidak ambil tahu jika kisah anaknya tular tapi memutuskan untuk tampil bersuara untuk dakwaan tidak betul itu.

"Alhamdulillah tak ada sesiapa pun tengok anak-anak saya ada di kelab (malam), tempat perjudian, minum arak, hisap rokok, shisha dan vape. Itu saya boleh rasa banggalah dengan anak-anak.

"Pasal perjudian itu memang tak ada dalam keturunan kami. Tak pernah jejak kaki pun ke tempat begitu. Saya tak anggap itu satu ujian pun. Tak pernah ambil tahu pasal orang cakap hari-hari tular (pasal anak-anak). Cuma pasal Ameera itu perlu jawab," katanya ditemui pada acara Disney X Naelofar Princess, di sebuah pusat beli-belah, di sini, hari ini.

Noor Kartini berkata, dia memadam hantaran luahan kekesalannya mengenai kes itu di Instagram kerana tidak mahu memanjangkan lagi perkara itu.

"Kenapa padam? Sebab habis sudah. Bagi mereka tahu yang mereka salah. Cukuplah, padamlah. Mereka sudah baca kan," katanya.

Dia juga percaya Ameera atau lebih popular dengan gelaran Little Miss Khan masih banyak perlu belajar untuk memperbaiki diri.

"Kalau nak cakap pasal lain, semua orang lalui fasa-fasa tersendiri. Pada usia remaja, kemudian meningkat matang, kita ada perubahan-perubahan dalam hidup kita. Tak semua orang keluar-keluar terus sempurna.

"Mungkin yang cakap lepas itu budak-budak juga sebenarnya. Tapi kalau orang yang sudah berkeluarga, kita kenal siapa keluarga kita. Kita tahu anak kita siapa," katanya.

Sebelum ini, nama Ameera tular apabila dia memuat naik gambar menghadiri acara lumba kuda di sebuah lokasi yang tidak diketahui.

Sementara itu, Noor Kartini enggan mengulas mengenai kisah rumah tangga anaknya, Noor Nabila, 39, dengan Engku Emran, 48.

Noor Kartini berkata, Nabila pun sudah berkeluarga, dewasa dan soal itu kena tanya dia sendiri.

"Urusan rumah tangga tak nak campur dan saya tak nak tahu. Yang saya tahu saya nak bahagia saja dengan anak cucu. Bagi saya mereka semua di mata dan hati saya. Untuk Ameera dia masih lagi bawah perlindungan dan jagaan saya.

"Tak ada apa lagi saya nak rungutkan sebab bukan ramai ibu-ibu luar sana yang bertuah, bernasib baik, beruntung, Allah bagi nikmat macam mana saya dapat kasih sayang dalam keluarga anak-anak saya. Itu cukup," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 September 2023 @ 3:15 PM