MASK Girl arahan Kim Young-hoon.
MASK Girl arahan Kim Young-hoon.
Syafil Syazwan Jefri


FILEM:

Mask Girl

PENGARAH:

Kim Young-hoon

PENULIS SKRIP:

Kim Young-hoon

PELAKON:

Lee Han-byeol, Nana, Go Hyun-jung, Ahn Jae-hong dan Yeom Hye-ran

TERBITAN:

Columbia Pictures, Eagle Pictures, Escape Artists dan Zhiv Productions

ULASAN:

Syafil Syazwan Jefri

(Ulasan filem ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan pemerhatian dan pengalamannya menonton filem berkenaan)

SATU siri yang baru sahaja saya selesai tonton di platform penstriman Netflix adalah karya dari Korea Selatan berjudul Mask Girl.

Saya yakin, rata-rata tentunya peminat drama bersiri Korea Selatan sudah menonton siri karya penulis dan pengarah, Kim Young-hoon ini.

Apa yang menarik perhatian saya adalah ia berbeza daripada kebiasaan terutama jalan ceritanya.

Walaupun Netflix mengklasifikasikan Mask Girl sebagai satu karya yang mengusung tema 'dark comedy' atau komedi gelap, saya tidak rasa ia adalah satu karya berbentuk komedi.

Secara ringkasnya, Mask Girl mengisahkan mengenai Kim Mo-mi yang bekerja di pejabat. Dengan wajahnya yang tidak sejelita wanita lain, Mo-mi mencipta satu karakter berbeza di internet dan dikenali sebagai Mask Girl.

Tampil sebagai wanita seksi dengan bentuk tubuh menarik, Mask Girl menawarkan hiburan online kepada lelaki yang dahagakan sesuatu untuk memuaskan nafsu mereka.

MASK Girl mengisahkan mengenai kehidupan Kim Mo-mi.
MASK Girl mengisahkan mengenai kehidupan Kim Mo-mi.

Konflik mula timbul apabila berlaku pembunuhan dan Mo-mi menjadi suspek utama walaupun dia sudah mengubah wajahnya melalui pembedahan plastik.

Melarikan diri dengan identiti berbeza, Mo-mi terus diburu oleh ibu kepada lelaki yang dibunuhnya, Kim Kyung-ja, sekali gus memaksanya untuk menyelamatkan diri dengan pelbagai cara.

Tertekan dengan kehidupannya sebagai buruan, Mo-mi akhirnya menyerahkan diri kepada pihak berkuasa dan dipenjara.

Dalam penjara, dia yang pada awalnya dilihat sebagai susuk yang lemah akhirnya bangkit dan menumpaskan setiap individu yang ingin membulinya.

Anda juga akan dapat melihat tiga fasa kehidupan Mo-mi, sebelum menjalani pembedahan, selepas menjalani pembedahan dan ketika meningkat usia saat berada dalam penjara.

Menampilkan tujuh episod, setiap episod wajib ditonton kerana ia membongkar dan menghuraikan satu watak yang dipaparkan.

Setiap episod juga merungkai perjalanan setiap karakter utamanya, bagaimana sejarah mereka, sehingga garis waktu yang mempertemukan watak itu dengan watak utama, Mo-mi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 September 2023 @ 6:14 AM