DRAMA bersiri dari Korea padat dengan emosi.
DRAMA bersiri dari Korea padat dengan emosi.

Drama bersiri 11 episod dari Korea Selatan berjudul Queenmaker mengangkat kisah yang menurut saya, berbeza berbanding kebiasaan.

Bagi penonton yang pernah menonton drama bersiri The World of the Married, tentunya wajah teraju utama, Kim Hee-ae pastinya bukan nama asing.

Secara ringkasnya, Queenmaker mengisahkan mengenai perjuangan wanita bernama Hwang Do-hee yang berubah sikap selepas berlaku satu insiden.

Daripada seorang wanita yang boleh dianggap sebagai kejam kerana terlalu patuh kepada tuannya, Do-hee kemudian berdepan situasi di mana pekerja bawahannya terbunuh akibat kezaliman tuannya sehingga dia dipecat kerana tidak mampu menanggung rasa bersalah.

Dari situ, bermula rencana yang diatur Do-hee dengan sangat teliti, seterusnya dia ingin bangkit melawan tuannya yang juga pemilik syarikat Eunsung Group.

Dia kemudian bekerjasama dengan peguam yang juga aktivis hak pekerja, Oh Seong-sook yang seterusnya bertanding dalam pilihan raya untuk mendapatkan posisi sebagai Datuk Bandar Seoul.

Tujuan utama Do-hee adalah untuk membalas dendam dan menuntut keadilan buat pekerja bawahannya yang meninggal dunia.

Pada masa sama, dia juga ingin membantu Seong-sook untuk mendapatkan posisi, sekali gus menjalankan proses politik secara bersih tanpa rasuah serta urusan kotor.

Queenmaker membuktikan bahawa drama bersiri ini masih boleh diangkat dan mencuri perhatian penonton walaupun membariskan pelakon berusia sebagai teraju utama.

Pelakon muda yang mengisi drama ini hanya untuk melengkapkan jalan cerita sebagai watak sampingan.

Dari sudut jalan cerita, Queenmaker mempertaruhkan sesuatu yang berbeza dan bagi saya secara peribadi, sangat berani kerana ia meletakkan sisi gelap dunia politik di Korea Selatan.

Penulis skrip Moon Ji-young dan pengarah Oh Jin-seok berjaya menggarap dan 'mendedahkan' mengenai dunia politik wang dan bagaimana golongan elit di Korea Selatan mengawal ahli politik umpama boneka.

Satu lagi perkara yang jelas dipaparkan adalah bagaimana watak Do-hee membalas dendam dengan strategi yang sangat tersusun tanpa terburu-buru.

QUEENMAKER mengisahkan perjuangan wanita.
QUEENMAKER mengisahkan perjuangan wanita.

Penonton juga dibawa menelusuri emosi naik dan turun Do-hee melalui beberapa fasa antaranya ketika berdepan kematian pekerjanya, dipecat, berdepan kematian bapanya dan pada masa sama, terus yakin untuk mengatur strategi pembalasan dendamnya.

Setidak-tidaknya dapat juga saya sebagai penonton lari sebentar daripada kisah cinta romantik yang kerap kali menjadi tunjang utama drama bersiri dari Korea Selatan.

Di pengakhiran episod akhir, penonton diberikan petunjuk, umpama ada sambungan untuk musim kedua. Sama-sama kita nantikan.

DRAMA: Queenmaker

PENGARAH: Oh Jin-seok

PENULIS SKRIP: Moon Ji-young

PELAKON: Kim Hee-ae, Moon So-ri dan Ryu Soo-young

TERBITAN: Insight Film, Studio Focus X dan Astory

ULASAN: Syafil Syazwan Jefri

(Ulasan ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan pemerhatian dan pengalaman menontonnya)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 April 2023 @ 6:16 AM