Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: "Sama-sama pernah dipenjara."

Itu keterangan ringkas dimuat naik komposer dan penyanyi terkenal Indonesia, Ahmad Dhani di Instagram hingga tular.

Menerusi hantaran itu, Ahmad Dhani yang juga penyanyi dan pemain keyboard kumpulan Dewa 19 memuat naik gambar bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada program Temu Anwar Jakarta.

Dalam gambar itu, kelihatan Ahmad Dhani menggenggam tangan Anwar sambil tersenyum depan kamera.

Hantaran berserta kapsyen itu nampaknya mendapat pelbagai reaksi warganet yang mana kedua figura itu mempunyai persamaan iaitu pernah dipenjarakan.

Pada masa sama, Ahmad Dhani turut memuat naik hantaran video yang mana dia turut menghiburkan penonton yang hadir pada program yang dijalankan di sebuah hotel di sana.

Selain Ahmad Dhani, program itu dikendalikan pasangan selebriti Raffi Ahmad dan isterinya, Nagita Slavina.

Ahmad Dhani pernah ditahan dan dipenjarakan selama 18 bulan di Cipinang, Jakarta Timur pada 2019.

Anwar pula dipenjara sebanyak dua kali iaitu pada 1998 dan 2015 di Penjara Sungai Buloh, Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 September 2023 @ 11:38 AM