Yusof (kiri) menafikan khabar angin mengenai sahabatnya, A. Galak (kanan).
Yusof (kiri) menafikan khabar angin mengenai sahabatnya, A. Galak (kanan).
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: "Hari-hari dia (A Galak) bersama saya. Semua 'fake news' (berita palsu)," kata pengarah dan penerbit filem, Datuk Yusof Haslam, 69, berhubung penyebaran berita palsu mengenai sahabat baiknya, pelakon A Galak, 82, yang didakwa meninggal dunia hari ini.

Yusof yang kesal dengan penyebaran berita itu berkata, ia dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang didapatinya kini semakin tidak terkawal di media sosial untuk tujuan tertentu.

"Perbuatan ini dilakukan orang yang bersikap tidak bertanggungjawab. Dah makin kerap berlaku dan saya harap mereka hentikan membuat dosa saja dengan menyebarkan berita palsu kepada orang ramai.

"Semoga ada undang-undang yang tegas daripada pihak berkuasa dan berwajib bagi mereka yang melakukan penyebaran berita palsu ini. Kena ada hukuman denda yang setimpal atau penjara," katanya kepada Harian Metro menerusi kiriman WhatsApp.

Yusof berkata, sudah tiba masanya untuk tindakan tegas dikenakan kepada penyebar yang tidak bermoral ini kerana sudah melampau sangat dan menjadi satu perbuatan yang biasa bagi mereka (penyebar berita palsu).

Terdahulu, tersebar berita mendakwa A Galak yang cukup dikenali sebagai 'Sarjan Misai' dalam drama Gerak Khas dilaporkan meninggal dunia dan orang ramai dimohon sedekahkan Al Fatihah.

Sebelum ini, A Galak pernah dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 27 Mei 2019 selepas diserang angin ahmar.

Bagaimanapun, kini dia sihat dan keadaannya masih baik serta aktif bekerja dengan Skop Production milik Yusof.

A Galak atau nama sebenarnya Zakaria Ahmad dilahirkan di Johor dan dibesarkan di Singapura mempunyai lima anak. Dia sudah aktif berlakon pada tahun 1961 menerusi filem Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Ali Baba Bujang Lapuk sebagai penyamun.

Pada 1983, A Galak juga berlakon filem Darah Satria sebagai Sarjan Razak dan diikuti filem Azura pada 1984 dengan watak Datuk Puteh iaitu bapa Zack lakonan Datuk Jamal Abdillah

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Ogos 2023 @ 7:58 PM