Kamal digugurkan daripada berlakon dalam Abang Long Fadil 2. FOTO Aziah Azmee
Kamal digugurkan daripada berlakon dalam Abang Long Fadil 2. FOTO Aziah Azmee
Oleh Wahi Aziz


Kuala Lumpur: Penerbit filem Abang Long Fadil 2 Datuk Yusof Haslam, 61, mengesahkan pelakon Kamal Adli digugurkan daripada senarai pelakon filem berkenaan yang akan memulakan penggambaran pertengahan bulan depan.

Yusof ketika dihubungi berkata, keputusan menggugurkan Kamal yang juga pelakon utama Abang Long Fadil tahun lalu dibuat atas pertimbangan untuk memudahkan proses penggambaran filem itu nanti.

Yusof berkata, keputusan berat itu terpaksa diambil bagi mengelakkan sebarang konflik ketika penggambaran berikutan perasaan kurang selesa yang dikatakan wujud antara pelakon utamanya Zizan Razak dengan Kamal.

"Apa yang berlaku antara mereka rasanya tidak perlulah saya ulas lanjut. Sebagai penerbit saya perlu memikirkan jalan terbaik untuk kebaikan semua pihak dan kelancaran produksi ini nanti.

"Saya tidak mahu wujud perasaan kurang selesa atau konflik dalaman timbul apabila mereka terbabit dalam penggambaran nanti,” katanya.

Yusof mengumumkan perkara itu sebagai reaksi tindakan Kamal dan Zizan berbalas kenyataan di media mengenai isu terbabit, baru-baru ini.

Sebelum ini, ura-ura mendakwa Kamal digugurkan kerana permintaan Zizan yang dipercayai tidak mahu bekerjasama dengannya dalam filem sambungan arahan Syafiq Yusof itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Oktober 2015 @ 7:08 PM