Shuib
Shuib
Georgie Joseph

 

Kuala Lumpur: "Kalau saya memilih diri saya, rasanya saya akan terus membujang kot," ujar pelawak Shuib, 39, berhubung keputusannya bertunang dan bakal mengahwini Watie Hanifiah, 35, pada 23 Jun nanti.

Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad berkata, dia lebih dahulukan anak-anak selain ingin melunaskan permintaan Allahyarhamah Siti Sarah.

"Berbalik kepada niatlah. Niat untuk anak-anak saya, keluarga saya. Sebab tanggungjawab sebagai seorang bapa bukan mudah. Lagi pula anak-anak saya masih kecil. Tak mudah, sebab saya memilih anak. 

"Contoh ya, kalau jumpa kawan, mereka cakap sayangnya nak kahwin, kan 'best' bujang. Saya pilih untuk anak-anak. 

"Tanggungjawab saya cukup besar, sebab arwah nak saya besarkan anak-anak dengan cara dan jalan paling baik. Jadi, saya memerlukan seseorang dengan saya, bersama-sama saya," katanya.

Shuib juga yakin memiliki Watie di sampingnya akan memberikan jaminan untuknya dapat membesarkan anak-anaknya dalam cara jauh lebih baik.

"Sebab saya sedar diri, kemampuan saya, tahu fitrahnya apa. Walaupun anak-anak saya kecil lagi, saya rasa mereka cepat dewasa dengan apa yang dilalui.

"Setiap hal yang saya nak buat, saya bincang dengan anak-anak, bukan keluarga saja. Saya akan cakap walaupun tak tahu sedalam mana mereka faham, tapi setiap keputusan saya akan tanya," katanya.

Mengulas mengenai kenapa adakan pertunangan dan tidak terus bernikah, menurut Shuib bapa mertuanya Raisuddin Hamzah yang menyokong untuk adakah majlis itu dulu.

"Permintaan saya untuk dia ketuai pertunangan itu sebab saya sudah anggap dia macam bapa saya sendiri. Pegangan hidup saya pun banyak dipengaruhi oleh dia.

"Kenapa tidak dia yang menjadi wakil untuk mengetuai majlis pertunangan itu. Kadang-kadang perancangan itu berubah-ubah. Nikah saja, tiba-tiba datang nak majlis berinai pula, datang pula rasa bertunang," katanya.

Shuib berkata perasaan kembali berumah tangga dan ada orang baharu dalam hidup memberikan nikmat tersendiri untuk disyukurinya.

"Kita kena hargai setiap orang yang datang dalam hidup kita. Dia harus dihargai. Perasaan yang lain-lain. Maksudnya Allah bagi saya nikmat semua hal yang banyak. 

"Saya pernah melangkah sebagai seorang suami, duda, sekarang melangkah sebagai tunangan orang. Bahagia atau sedih, semuanya saya dapat nikmati dengan baik," katanya.

Shuib dan Watie selamat bertunang pada majlis tertutup di kediaman Watie yang juga seorang usahawan di Shah Alam, pada 6 Mei lalu.

Sebelum ini Shuib berkahwin dengan penyanyi Allahyarhamah Siti Sarah Raissuddin pada 26 Februari 2011. Bagaimanapun, Siti Sarah meninggal dunia pada 9 Ogos  2021 kerana dijangkiti Covid-19. 

Pasangan itu dikurniakan empat cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 11; Dzahira Talita Zahra, 9; dan Ariq Matin, 7, dan Ayash Affan, 2.

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mei 2023 @ 11:56 PM