AMER (tengah) bergabung dengan Rahim dan Syed Yassin (kiri) dalam single CintaMu.
AMER (tengah) bergabung dengan Rahim dan Syed Yassin (kiri) dalam single CintaMu.
Ridzuan Abdul Rahman


PENGUNDURANNYA dari kumpulan Ruffedge pada 2007 diibaratkan satu kehilangan besar buat kumpulan R&B yang digilai peminat ini. Tambahan pula Ruffedge sedang mengecapi populariti ketika itu.

Bagaimanapun, Amer Munawer Yusoff, 45, mempunyai misi sendiri. Dia bukan bersara terus dalam bidang seni, sebaliknya mencari idea segar yang diterjemahkan dalam lagu ciptaannya.

Bergabung seketika dengan beberapa rakan iaitu Azan Addin Ruffedge, Lah Ahmad VE dan Zaff VE menubuhkan Al Mawleed, Amer yang kini selesa dengan nama Amer Binyusoff tampil menerusi single terbaharu berjudul CintaMu.

"Saya nak sahkan di sini, nyanyian, muzik dan lagu memang darah daging saya. Sebab itu saya tak boleh berhenti buat lagu.

"Sejak sekolah rendah saya dah tulis lagu, tapi saya tak tahu ini proses tulis lagu. Sampai saya terbabit dalam arena yang serius.

"Walaupun tak terbit lagu, saya tetap buat demo simpan lagu sendiri. Saya tak pernah berhenti tulis lagu. Insya-Allah," katanya.

Bercerita lanjut, Amer mendedahkan pada satu tahap dirinya berasa tepu dengan karier bersama Ruffedge dan memaksa dirinya mengambil keputusan nekad ini.

"Saya nak cari sesuatu yang segar. Tapi, sebenarnya saya percaya yang waktu itu saya dapat panggilan yang lain. Saya baru nak kahwin rasa macam nak buat pembaharuan sikit.

"Terfikir macam mana kalau saya kahwin bolehkah nak begini lagi? Saya fikir dan terus fikir, rasanya tak boleh lagi dengan konsep yang lama. Waktu itu Ruffedge masih dengan konsep lama.

AMER suka menghabiskan masa mencipta lagu baharu.
AMER suka menghabiskan masa mencipta lagu baharu.

"Saya minta izin undur diri sebabnya keluarga saya perlukan saya untuk perniagaan. Saya kerja dengan mereka. Waktu itu juga saya baru dengar lagu qasidah dan selawat," katanya.

Baginya lagu ini lebih 'wow' dari segi penulisan dan melodinya dirasakan sangat indah. Dari situ dia melihat qasidah lebih diminati dan boleh didalami.

"Tapi, saya tak pernah lari pada minat saya dengan konsep R&B. Walaupun saya suka selawat, tapi saya tetap pendengar R&B yang tegar.

"Cuma kalau nak diajak bersama Ruffedge semula agak susah kerana membabitkan komitmen. Nak cuba pun susah. Saya cuba juga, tapi jadual keluarga dan kerja agak sukar.

"Saya fikir semula Ruffedge ini rezeki mereka tengah stabil, teruskan. Saya dengan cara ini iaitu fasa sekarang. Saya anggap Ruffedge sebagai sekolah iaitu satu tapak yang saya sampai hari ini," katanya.

Tahun 2017 hingga awal 2021 menyaksikan Amer berhijrah ke Oman. Bagaimanapun, dia pulang seketika pada 2018 untuk menjayakan konsert reunion Ruffedge.

"Dalam setahun mereka ada tiga konsert, tapi saya boleh bersama setahun saja kerana ada komitmen lain. Ruffedge waktu itu alhamdulillah dah ada tapak dan nak buat serius.

"Jadi, apabila mereka ada komitmen dengan label saya tak boleh bersama mereka. Dan saya pun ada perancangan, kalau dalam bidang seni, saya banyak menulis lagu di belakang tabir.

"Di Oman ketika itu, saya sebetulnya jaga emak yang tinggal bersama kakak. Memang nak pergi duduk sana untuk cari peluang untuk buat kerja yang lebih kepada bisnes," katanya.

Single CintaMu menggandingkan Amer bersama Rahim InTeam dan Syed Yassin, penyanyi qasidah dari Brunei.

"Sebenarnya single ini jadi sebab lagunya lagu lama yang saya buat untuk dimuatkan dalam album Al Mawleed. Tapi, Al Mawleed dah cukup lagu sebab lagu saya banyak.

"Lagu ini saya simpan dulu. Sampai tahun ini Allah takdirkan temukan saya dengan orang-orang yang buat bagi saya mudah contohnya dengan InTeam Records yang ada studio dan fasiliti. Ia seterusnya dibuat semula.

"Manakala dengan Syed Yassin memang saya berbincang sejak bertandang ke Brunei lagi. Saya kerap usulkan pada dia untuk buat sesuatu untuk memeriahkan seni.

"Saya nak buat 'jambatan' hubungkan Malaysia dan Brunei. Apabila saya balik dari Oman, kami jumpa semula dan jadi 'benda' ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Jun 2023 @ 6:40 AM