Penyanyi, Aiden Daniel ketika pelancaran single Sampai Masa. FOTO Aziah Azmee
Penyanyi, Aiden Daniel ketika pelancaran single Sampai Masa. FOTO Aziah Azmee
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Penyanyi baharu, Aiden Daniel yang juga anak didik komposer, Zul 2By2 rela dipanggil 'budak baru nak up' (BBNU) meskipun dia kini berusia 30 tahun dan sudah berkahwin.

Aiden atau nama sebenarnya Muhammad Amirul Abdul Rahim, berkata, sebagai bakat baharu dia okey saja dengan gelaran BBNU itu kerana pembabitannya dalam muzik arus perdana baru bermula dan masih 'hijau'.

"Saya menyanyi kerana minat dan dah 'start' sejak kanak-kanak lagi dengan menyertai pelbagai pertandingan karaoke. Cuma, baru sekarang saya dapat rezeki untuk jadi penyanyi rakaman yang ada single sendiri.

"Jadi, saya tak kisah pun kalau dipanggil penyanyi BBNU walaupun usia macam dah tak sesuai. Bagi saya, ia (usia) hanya angka dan syukur Alhamdulillah, yang pasti rezeki saya jadi penyanyi secara serius sudah tiba," katanya.

Aiden yang bekerja dengan produksi Timur Empayar Management, turut berterima kasih dengan Zul 2By2 dan isteri, Intan Maya kerana sudi memberikan kepercayaan kepada pendatang seni suara baharu sepertinya untuk menyanyikan lagu Sampai Masa ciptaan mereka.

Terdahulu, Aiden ditemui media pada majlis pelancaran single Sampai Masa di ibu kota, baru-baru ini.

Single bergenre balada itu mengisahkan perhubungan pasangan kekasih yang dikhianati.

Ditanya juga mengenai jumlah pengikut media sosialnya yang masih sedikit, Aiden mengakui perkara itu dan bertekad cuba menarik perhatian ramai dengan berkongsi aktivitinya membuat 'cover' lagu.

Katanya, dia enggan terkait dengan sebarang kisah sensasi hanya kerana ingin menaikkan jumlah pengikut di media sosial berikutan perlu untuknya menjaga hati isteri dan keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Ogos 2022 @ 2:03 PM