Trisha kini masih dirawat di Hospital Selayang
Trisha kini masih dirawat di Hospital Selayang
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Pelakon Trisha Ooi, 23, menyifatkan nyawanya umpama berada di hujung tanduk apabila ketumbuhan 'cyst' dialami sebesar 6.7 sentimeter (sm) pecah di dalam perut pada Sabtu lalu dan perlu menjalani pembedahan segera di Hospital Selayang.

Trisha atau nama sebenarnya Reyshqa Aqiera Mohd Nasron Ooi berkata dia sudah lama menghidapi ketumbuhan 'cyst' itu dan dirujuk ke hospital untuk rawatan lanjut, cuma tidak sangka ia pecah tiba-tiba sehingga dia harus menjalani pembedahan kecemasan.

"Saya rasa dah nyawa ikan. Ketumbuhan 'cyst' ini sangat menyakitkan. Saya mula diserang teruk sejak beberapa bulan lalu, namun atas komitmen kerja saya membuat keputusan cuba bertahan dengan mengambil ubat-ubatan diperlukan daripada doktor.

"Tapi, selepas selesai saja penggambaran drama Tentang Hati Dia baru-baru ini, saya tak boleh bertahan lagi. Perut saya 'cramp' (kekejangan) hingga kesukaran bernafas dan minta pengurus bawa ke Hospital Selayang.

"Doktor memaklumkan 'cyst' saya sudah pecah dan perlu membuat pembedahan segera demi menyelamatkan nyawa. Saya bersyukur pembedahan berjalan lancar dan dipermudahkan urusan," katanya kepada Harian Metro.

Mengulas mengenai tempoh pemulihannya, Trisha berkata dia masih perlu mendapat pemantauan daripada doktor di hospital dan tidak pasti bila akan dibenarkan pulang ke rumah.

Katanya, dia harus melupakan urusan kerja seketika.

"Buat sementara waktu ini, nampaknya saya kena betul-betul berehat dulu terutama dari aktiviti lasak sebab keadaan yang masih terlantar di atas katil.

"Saya mohon doakan kesembuhan agar pulih segera. Alhamdulillah, tahap kesihatan saya kini stabil dan menunjukkan pemulihan positif," katanya.

Trisha yang sebelum ini aktif sebagai pelakon lagak sejak usia remaja, mula dikenali dengan watak antagonis, Erra dalam drama Risik Pada Hati di slot Akasia TV3 pada tahun lalu.

Menerusi drama yang dibintangi Alif Satar, Ummi Nazeera dan Zara Zya sebagai watak utama itu, Trisha dikecam netizen kerana karakter antagonisnya yang tidak putus asa menjadi 'penyondol' rumah tangga orang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Jun 2023 @ 6:14 PM