Emma ketika mendapat rawatan susulan baru-baru ini.
Emma ketika mendapat rawatan susulan baru-baru ini.
Georgie Joseph

 

Kuala Lumpur: Pelakon Emma Akma, 52, disahkan menghidap kanser perut serta ketumbuhan cyst sebesar saiz bola sepak yang boleh mencabut nyawanya jika tidak dibedah segera.

Emma atau nama sebenarnya Noorakma Yunus mengakui dia kini dalam keadaan buntu dan memerlukan bantuan orang ramai bagi menanggung kos pembedahan dianggarkan RM50,000 untuk membuang ketumbuhan itu.

Ia berikutan Emma terpaksa menjalankan pembedahan itu di hospital swasta memandangkan hospital kerajaan dipenuhi pesakit Covid-19.

"Ini sajalah jalan terakhir saya untuk mendapatkan wang sebanyak itu secepatnya. Kalau ikutkan, saya okay saja untuk buat pembedahan di hospital kerajaan tapi doktor cakap memang mereka tidak dapat lakukannya pada tempoh sekarang.

"Jika saya tak jalani pembedahan secepat mungkin, ketumbuhan itu berisiko untuk pecah dan boleh menyebabkan maut. Jadi, memang sudah tidak boleh ditangguh dan kena buat dengan kadar segera juga," katanya.

Turut terkesan dengan keadaan pandemik sekarang, Emma mengakui duit simpanannya memang tidak mencukupi bagi membiayai pembedahan itu.

"Apa lagi iktihar yang saya boleh lakukan demi mencari wang sebanyak ini? Saya sudah beberapa bulan terputus punca rezeki kerana segala aktiviti seni dilarang.

"Kalau masih boleh bekerja, semestinya saya akan lakukan apa saja untuk mengumpul jumlah itu. Tapi, sekarang saya pun sudah tidak larat berjalan sejak ketumbuhan di perut membesar dan terpaksa berkerusi roda di rumah," katanya.

Pelakon drama Gerak Khas: The Finale itu turut mendedahkan ketumbuhan terbabit dikesan sehari sebelum sambutan Aidilfitri tahun ini. Bagaimanapun, dia sudah berasa kesakitannya sejak Ramadan lalu.

"Mulanya saya ingatkan sakit biasa saja disebabkan kepenatan. Beberapa kali juga saya pengsan sebelum disahkan menghidap kanser cyst itu sehari sebelum sambutan Aidilfitri tahun ini.

"Ketika itu, doktor mengesan ada ketulan kecil dalam perut saya dan sekarang sudah sebesar bola sepak. Betapa cepatnya ia membesar sehingga menyebabkan kudrat saya untuk bergerak sekarang sangat lemah," katanya.

Dalam pada itu, Emma turut memohon sumbangan ikhlas ramai yang sudi menghulurkan bantuan. Sunbangan itu boleh dibuat menerusi akaun bank Maybank 162209987311 (Noorakma Yunus).

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Ogos 2021 @ 7:43 PM