Shera Aiyob ketika menjalani rawatan di hospital
Shera Aiyob ketika menjalani rawatan di hospital
Ramlah Zainal


Kuala Lumpur: Pelakon dan pengacara, Shera Aiyob memaklumkan dirinya baru sahaja selesai menjalani pembedahan membuang ketumbuhan 'cyst' sebesar 8 sentimeter (sm) di hospital, baru-baru ini.

Menerusi perkongsian di Instagram (IG), Shera berkata, dia terpaksa di masukkan ke wad selepas berasa sakit perut yang teramat sangat sebelum ini.

"Saya berasa sakit perut yang teramat sangat kira-kira jam 2 pagi sampai dada berasa sempit dan tak boleh bernafas.

"Saya sampai di bahagian kecemasan hospital pada jam 3.30 pagi dan terus dimasukkan ke wad," katanya.

Dalam perkongsiannya lagi, kata isteri pelakon Zahiril Adzim itu, doktor juga beritahu kemungkinan besar 'cyst' itu sudah 'ruptured' (pecah).

"Saya berasa seriau tapi terpaksa menjalani pembedahan berkenaan.

"Dalam jam 11 malam, doktor melakukan bius dan pembedahan mula dijalankan. Saya hanya dikejutkan pada jam 1.30 pagi dan diberitahu pembedahan sudah selesai," katanya.

Berkongsi mengenai 'cyst' lagi, kata Shera, dia dapat tahu dirinya ada ketumbuhan sebesar 5 sentimeter itu selepas buat pemeriksaan 'scan' di klinik pada 14 November tahun lalu.

"Saya terpaksa buat 'scan' di klinik kerana mengalami sakit perut ketika itu. Selepas dapat tahu mengenai ketumbuhan itu, doktor di klinik itu minta saya buat rawatan lanjut di hospital.

"Saya juga terpaksa ke hospital dan doktor beritahu memang ada 'cyst' dan diberi pilihan untuk makan ubat dulu.

"Namun, selepas buat pemeriksaan lagi pada 14 Februari lalu, doktor beritahu saiz 'cyst' sudah hampir 8 sm dan doktor cadangkan untuk buat pembedahan," katanya.

Menurut Shera lagi, pada mulanya, dia merancang untuk menjalani pembedahan itu selepas raya tetapi Allah S.W.T penentu segalanya.

"Saya terpaksa menjalani pembedahan itu selepas sakit perut teramat sangat dan pembedahan terpaksa dijalankan segera pada 12 Mac lalu.

"Alhamdulillah, terima kasih kepada semua doktor dan jururawat yang merawat sepanjang saya di hospital. Terima kasih juga kepada semua yang mendoakan kerana saya sangat menghargainya. Semoga semua yang mendoakan juga mendapat keistimewaan dan keberkatan pada Ramadan yang mulia ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2024 @ 12:08 PM