Dahlia Farhana
Dahlia Farhana
Zaara Talita


Kuala Lumpur: Penyanyi Dahlia Farhana menafikan lagu Langit Yang Sama ditujukan buat mana-mana pihak dan mempunyai kaitan dengan sesiapa.

Jelas Dahlia, lagu ciptaannya itu juga bukan bertujuan menumpang populariti sesiapa namun dikaitkan dengan pempengaruh media sosial yang juga kekasih seorang penyanyi kerana situasi sedang panas ketika itu.

"Saya tidak menggunakan nama sesiapa untuk mempromosikan lagu Langit Yang Sama. Mungkin ketika lagu berkenaan dilancarkan kena dengan situasi pada ketika itu. Saya rasa mungkin masalah 'timing'. 

"Saya cipta lagu itu ketika sedang gembira namun sepanjang tempoh itu menjadi bertukar jalan cerita secara sendiri. Malah, tidak pernah terlintas sama sekali hendak menumpang populariti sesiapa.

"Sudah lama sebenarnya saya cipta lagu ini iaitu pada tahun lalu lagi. Lagu ini sebenarnya diinspirasikan oleh bulan. Maka, terhasillah Langit Yang Sama.

"Saya maklum mengenai perkara ini kerana ada yang berkongsi kepada saya. Tetapi memang bukan ditujukan atau diciptakan untuk sesiapa," katanya.

Terdahulu, single nyanyian Dahlia menjadi kontroversi apabila dikatakan ditujukan buat seorang pempengaruh media sosial yang sedang menjalinkan hubungan cinta dengan penyanyi wanita.

Bagaimanapun, penyanyi berkenaan turut menafikan merampas pempengaruh media sosial itu daripada mana-mana individu untuk menjalinkan hubungan cinta.

Biarpun masih hijau dalam industri seni, Dahlia menjelaskan terbuka sekiranya terjumpa atau terserempak dengan penyanyi wanita itu dan kekasihnya di mana-mana acara.

"Saya tiada masalah dengan sesiapa. Memang betul, industri ini sangat kecil dan mana-mana pun boleh terjumpa. Jangan kata di acara atau majlis, jika keluar pun mungkin terjumpa.

"Saya okay saja dan tidak akan lari," katanya secara bergurau.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mei 2023 @ 10:30 AM