Janna menerima pelbagai reaksi daripada peminat penyanyi. IG Sakinah
Janna menerima pelbagai reaksi daripada peminat penyanyi. IG Sakinah
Sudirman Mohd Tahir


PELAKON Janna Nick memohon maaf kepada mana-mana pihak yang tersinggung ekoran tindakannya bersama pelakon, Sharifah Sakinah yang didakwa mempersendakan kematian penyanyi Korea, Jonghyun.

Video yang dimuat naik menerusi IG Story milik Sakinah itu menunjukkan mereka sedang bergurau di sebuah salon sambil menyebut nama artis Korea itu.

Tindakan Janna dan Sakinah itu mengundang amarah dan pelbagai reaksi peminat penyanyi itu seperti yang disiarkan sebuah portal hiburan Koreaboo, hari ini.

Janna yang kini bercuti di Bali, Indonesia ketika dihubungi berkata, dia tidak berniat untuk menyentuh sensitiviti mana-mana pihak malah tidak mengetahui mengenai kematian penyanyi itu.

"Saya malas nak panjangkan isu ini. Lagi pula saya tak sentuh langsung mengenai penyanyi berkenaan. Malah, sebelum ini saya juga sudah meminta maaf di Twitter.

"Namun, jika ada yang berasakan tindakan saya salah, sekali lagi saya nak minta maaf. Sejujurnya saya tak berniat nak mempersendakan sesiapa malah jauh sekali nak mengaitkan dengan sesiapa.

"Lagi pula, ketika video dimuat naik, saya tak tahu pun mengenai berita dia meninggal dunia sehinggalah peminat mulai 'serang' saya di Twitter," katanya kepada Harian Metro.

Janna menegaskan, tindakannya ketawa bukan ditujukan kepada penyanyi itu sebaliknya respons kepada gelagat Sakinah.

"Bagi saya perkara ini tak perlu diperbesarkan lagi. Selaras dengan azam tahun baru, saya tak nak memberi maklum balas kepada perkara ke arah negativiti.

"Kalau boleh, saya tak nak lagi bercakap lanjut mengenai isu ini," katanya.

Jonghyun yang juga anggota SHINee dilaporkan meninggal dunia pada 18 Disember lalu selepas ditemui tidak sedarkan diri di kediamannya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2018 @ 1:07 PM