SYAFIQ Farhain.
SYAFIQ Farhain.
Syafil Syazwan Jefri

Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa tahu. Bersandarkan kejayaan figura bernama Syafiq Farhain dalam industri seni, dia ada potensi untuk pergi jauh dalam bidang yang diceburi.

Buktinya, daripada bergelar penyanyi selain punya kerjaya tetap sebagai pegawai bomba, dia kini memulakan langkah sebagai pelakon.

“Alhamdulillah, menjelang akhir bulan ini saya akan memulakan penggambaran filem pertama lakonan saya iaitu Hero. Ia mengisahkan kehidupan pegawai bomba,” katanya.

Menurut penyanyi berusia 24 tahun itu, dia bersyukur kerjaya seninya mendapat sokongan padu Jabatan Bomba selaku majikan.

“Mereka sentiasa memberikan sokongan dalam setiap apa yang saya lakukan. Mungkin mereka nampak bakat saya dalam bidang seni.

“Baru-baru ini, saya menyertai satu program realiti TV dan majikan meluluskan permohonan cuti tanpa gaji selama dua bulan,” katanya.

Ditanya sama ada kerjaya nyanyiannya mengganggu jadual tugas sebagai pegawai bomba, Syafiq berkata itu tidak menjadi masalah.

“Mujurlah kerja saya sebagai pegawai bomba mengikut waktu pejabat dan tiada syif. Jadi, semuanya dapat saya atur dengan tersusun supaya tidak ada yang terganggu,” katanya.

Ditanya sama ada dia akan melepaskan jawatannya sebagai pegawai bomba, Syafiq menidakkan perkara itu.

“Tidak. Buat masa sekarang, tiada niat langsung untuk berhenti kerja semata-mata mahu fokus menyanyi. Bagi saya, biarlah kedua-duanya bergerak seiring,” katanya.

Bergelar selebriti memberikan kelebihan kepadanya dalam melakukan kerja.

“Sebelum menjadi artis, video nyanyian saya pernah tular. Ketika itu, saya bertugas di Johor Bahru. Kemudian, jabatan bomba memindahkan saya ke Putrajaya.

“Sebagai pegawai bomba dan pada masa sama dikenali kerana berkecimpung dalam dunia nyanyian, mudah untuk saya berkongsi ilmu mengenai keselamatan serta mengajak orang ramai supaya peka mengenai keselamatan,” katanya.

Ditanya mengenai strateginya untuk kekal relevan di dalam industri yang penuh cabaran ini, Syafiq berkata dia akan banyak muncul di kaca TV.

“Apa yang saya perasan, bila kita muncul di kaca TV, orang ramai akan lebih mengenali kita. Jadi, saya mahu kerap muncul di TV,” katanya.

Anak kepada penyanyi Saleem ini berhadapan dugaan berat apabila bapanya terbabit dalam kemalangan jalan raya.

“Keadaan ayah semakin stabil. Saya mohon kepada peminat untuk terus mendoakan kesejahteraan dan kesihatannya supaya dia kembali sihat seperti sedia kala,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 September 2018 @ 11:05 AM