Puteri Sarah
Puteri Sarah

Kuala Lumpur: "Maka inilah jadinya bila berurusan dengan kaki putar belit," kata pelakon Puteri Sarah Liyana, 37, terhadap kenyataan terbaru suaminya, Syamsul Yusof, 38.

Puteri Sarah berkata, dia semakin muak dengan drama tidak berkesudahan Syamsul yang terus menggantungnya tanpa bertali kerana enggan melafaz cerai.

"Asyiklah kata terimalah qada dan qadar kita berpisah secara baik. Sudahnya dah berkali turun naik mahkamah tak juga lafaz cerai. Setiap kali pergi mahkamah peguam saya mesti meminta hakam.

"Tapi pihak kamu asyik tak setuju. Jadi apa kamu nak sekarang? Dekat WhatsApp asyiklah kata masih sayang. Kalau tak nak bayar harta sepencarian, tak nak bayar mutaah, tak nak bayar nafkah tertunggak untuk saya, tak apa Syamsul.

"Nanti jawablah di akhirat. Kalau inilah yang membuatkan susah sangat nak lafaz cerai. Saya dah penat dengan drama awak," katanya.

Puteru Sarah turut membidas kenyataan Syamsul yang menuduhnya dia cuma ingin berjumpa selepas memfailkan nusyuz.

"Hanya selepas fail nusyuz baru Sarah datang nak jumpa? Kamu mesti tengah bermimpi! Sepanjang masa saya tak nak jumpa kamu kerana saya cakap kepada peguam, saya tahu kamu ini kaki putar belit cerita.

"Bila suruh rakam perjumpaan, mati-matian tak bagi rakam. Satu dunia tahu kamu ini kaki putar belitlah," katanya.

Menurut Puteri Sarah lagi, dia percaya Syamsul enggan melepaskannya kerana dia tidak mahu bersetuju dengan syarat keterlaluan diminta. Ia termasuk mengenai mutaah dan kes mahkamah terhadap keluarga Ira Kazar yang juga isteri kedua Syamsul.

"Betapa traumanya saya ini nak jadi isteri kamu lagi. Nak selesai cara baik dan minta dilepaskan macam terlalu susah sangat. Terimalah hakikat yang kamu memang tak nak lepaskan saya selagi tak ikut syarat-syarat keterlaluan kamu.

"RM500,000 mutaah dan nafkah tertunggak memang kamu sangat mampu. Itupun bayar ansuran kamu kata tuntutan saya melampau. Tapi tidak, kamu cuma nak bagi saya dan anak-anak apa yang kamu rasa kami nak bagi.

"Kalau boleh nak suruh saya tarik semua kes terhadap keluarga Kazar. Itu syarat wajib. Maaf tapi 'no'! Saya sudah cukup trauma dengan kaki putar belit macam kamu. Akan jumpa kamu dan keluarga Kazar di mahkamah!" katanya.

Antara tuduhan Syamsul kepada Puteri Sarah termasuk isterinya enggan berjumpa untuk berbincang secara baik, bimbang dengan permohonan nusyuz yang ada bukti hubungan dengan suami orang dan tukar perjanjian secara mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 April 2023 @ 11:58 AM