Kuala Lumpur : 'Perang' di media sosial di antara Puteri Sarah Liyana, 38, dan suaminya, Syamsul Yusof, 39, kembali semula apabila Puteri Sarah mempersoalkan dakwaan suaminya yang mendakwa dia mengubah perjanjian asal berhubung perceraian seperti sudah dipersetujui sebelum ini.

Puteri Sarah menerusi hantaran di Instagram malam tadi, mendakwa dia mempunyai sebab yang lebih kukuh untuk memfailkan nusyuz terhadap suaminya.

"Suruh tarik nusyuz? 'Hello bro', kalau saya failkan nusyuz terhadap awak tunjuk video tak senonoh awak dengan Ira (Kazar), gambar tak senonoh masa sebelum awak berkahwin rasanya nusyuz awak lagi teruk.

"Dengan Ira mengaku kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) persetubuhan luar nikah siapa yang nusyuz? Juga mutaah dan nafkah tertunggak RM500,000, saya minta bayar setiap RM100,000 setahun, itu awak mampu rasanya?," tulisnya.

Dalam masa sama, Puteri Sarah juga berkata, dia tidak menuntut sebarang harta sepencarian.

"Saya bincang dengan ibu awak, RM500,000 mutaah dan nafkah tertunggak itu munasabah rasanya. Harta sepencarian satu sen pun saya tak tuntut," katanya.

Puteri Sarah turut meminta Syamsul menjual kereta Lamborghini yang dibanggakannya supaya dapat membayar nafkah.

"Kereta banyak-banyak buat apa? Juallah buat bayar nafkah," katanya.

Puteri Sarah berkata, dia hanya menyerahkan kepada pihak mahkamah untuk memutuskan keputusan sebenar.

"Tak payah tarik nusyuz. Biar mahkamah yang tentukan siapa yang nusyuz. Saya suka. Untuk pengetahuan, nafkah yang awak bagi itu cukup-cukup makan.

"Nafkah isteri tiada bertahun. Jadi janganlah gembira sangat. Takpe kita lawan di mahkamah," katanya.

Terdahulu, Syamsul menerusi video di Instagram petang semalam mendakwa Puteri Sarah memutar belit perjanjian asal dan meminta jumlah wang yang didakwa terlalu banyak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 April 2023 @ 11:48 AM