Puteri Sarah. FOTO NSTP
Puteri Sarah. FOTO NSTP

Kuala Lumpur: Perkongsian dibuat pelakon Puteri Sarah, 36, di Instagram terhadap kenyataan pelakon veteran, Kazar Saisi yang berharap dia dapat berdamai dengan anaknya, Ira Kazar atas kemelut yang berlaku, cukup mendapat perhatian warga maya.

Berkongsi berita dipetik dari sebuah portal hiburan dengan tajuk, ''Kalau Boleh Berdamailah, Bukan Masalah Besar Sangat' - Kazar, menerima lebih 2600 komen daripada pengikut Sarah yang rata-ratanya kesal dengan kenyataan berkenaan.

Ditambah dengan kapsyen ditulis Sarah, 'Bukan masalah besar sangat meruntuhkan rumah tangga orang...', amat membuatkan golongan wanita yang berkomentar ingin pelakon drama Melastik Ke Hatimu itu bersemangat membela hak dirinya.

"Bukan masalah besar...#berdamai..senangnya cakap...ooo lupalah yang kena kebas tu pula jutawan...mana tak kisahnya. Kenapa sanggup keluar 'statement' macam tu. Ujian besar sungguh buat Puteri Sarah. Moga ada keadilan buat awak dan anak-anak," tulis seorang pengikut.

"Semudah itu bapa dia cakap... kalau anak sendiri pula yang kena macam mana la agaknya... atau kalau yang lelaki tu orang biasa-biasa marhaen, apa pula dikata? Aishhh...naik geram baca," kata seorang netizen.

"Dia rileks je kot sebab anak dia dua orang dah cerai berai," tulis seorang netizen lagi.

Bagi rakan selebriti pula, tidak kurang yang meminta Puteri Sarah teruskan berjuang dan tabah. Malah, rata-rata warga maya pada kalangan wanita amat kesal dengan kenyataan dibuat Kazar sebagai bapa.

Terdahulu, Kazar dalam kenyataannya juga memberi nasihat kepada netizen agar jangan terlalu kasar sangat. Katanya, komen yang baik-baik, sebab ini semua kerja Tuhan.

"Tak tahu lah, tak nak komen apa sebab masih dalam proses mahkamah. Lagipun, ini bukan hal saya. Ini kerja Allah, kita tak boleh kata apa, semua pun kena tanya Dia."

"Saya berharap, kalau boleh berdamailah. Bukan masalah besar sangat. Damai sajalah. Saya juga nasihat pada netizen jangan terlalu kasar sangat. Komen yang baik-baik, ini semua kerja Tuhan," katanya yang hadir di majlis Anugerah Seri Angkasa 2022 (ASA 2022), Sabtu lalu.

Sebelum ini, pada 30 Jun lalu, Puteri Sarah memfailkan saman terhadap Ira yang didakwa mengganggu rumah tangganya bersama suami juga pengarah filem terkenal, Syamsul Yusof sejak empat tahun lalu.

Difahamkan, Puteri Sarah juga mendapatkan perintah interim injuksi kepada pihak defendan iaitu Ira agar berhenti meluah atau menyebarkan sebarang gangguan dalam media sosial.

Pada akhir Julai lalu juga, Pengarah Jabatan Agama Islam.Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Mohd Ajib Ismail mengesahkan Ira hadir memberi keterangan berhubung gangguan orang ketiga dalam rumah tangga Puteri Sarah dan Syamsul.

Justeru, Ira disiasat berdasarkan Seksyen 38 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Oktober 2022 @ 2:42 PM