Syamsul Yusof hadir ke mahkamah untuk mengetahui keputusan laporan Jawatan Kuasa Pendamai dan Hadanah Puteri Sarah di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan. FOTO AZIAH AZMEE
Syamsul Yusof hadir ke mahkamah untuk mengetahui keputusan laporan Jawatan Kuasa Pendamai dan Hadanah Puteri Sarah di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan. FOTO AZIAH AZMEE
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Pengarah sensasi Syamsul Yusof, 39, akan menarik semula semua tuntutan termasuklah nusyuz yang difailkan pada 21 Mac lalu selepas perbincangan dengan isterinya Puteri Sarah Liyana, 38.

Perkara itu dikongsi Puteri Sarah di mana mereka sepakat untuk menariknya semula demi memudahkan serta menyelesaikan secara baik proses perceraian mereka.

"Kami sudah berbincang, Syamsul akan menarik semula tuntutan nusyuz. Saya juga tidak akan memfailkan nusyuz. Insya Allah, semua tuntutan akan selesai termasuk hak penjagaan anak-anak.

"Kami akan selesaikan syarat seperti hadanah (hak jagaan anak), nafkah anak, mutaah, nusyuz dan harta sepencarian. Saya sudah memberitahu Syamsul, dia okay sahaja, Alhamdulillah," katanya.

Peguam syarie yang mewakili Puteri Sarah, Datuk Akberdin Abdul Kadir berkata demikian juga beberapa perkara termasuk tuntutan hadanah akan diselesaikan secara baik.

"Tuntutan hadanah akan diselesaikan, manakala nusyuz difailkan Syamsul akan ditarik balik," katanya ringkas.

Puteri Sarah bersyukur dan percaya kerana berkat Ramadan berjaya membuka pintu hatinya berdamai dan bersemuka dengan Syamsul membincangkan kemelut mereka secara baik.

"Kami berjumpa di rumah, semalam. Secara kebetulan, Syamsul membawa anak-anak berbuka puasa dan bertemu saya selepas itu. Apabila duduk bersama, kami langsung tak bergaduh, malah boleh berbincang dengan baik.

"Jujurnya, saya juga mahukan segala-galanya berakhir dengan tenang, tiada pergaduhan atau permusuhan. Memang betul sebelum ini saya tidak mahu bersemuka, tetapi saya juga tidak mahu bermusuhan. Kami mungkin boleh jadi kawan demi kebaikan anak-anak.

"Saya nak teruskan hidup dengan tenang dan tak mahu ada dendam dalam hati. Jadi, kami berbincang dan capai kata sepakat dalam tuntutan perceraian. Alhamdulillah, semua syarat-syarat sudah dipersetujui," katanya.

Terdahulu, Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini menetapkan 18 April ini untuk Syamsul melafazkan cerai terhadap Puteri Sarah.

Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas menetapkan tarikh berkenaan selepas peguam syarie yang mewakili kedua-dua pihak memaklumkan terdapat perkembangan baru dan penyelesaian antara kedua-dua pihak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 April 2023 @ 5:22 PM