REAKSI Puteri Sarah selepas suaminya, Syamsul Yusof gagal mencapai kata persetujuan lafaz cerai di perkarangan Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan. FOTO Hazreen Mohamad
REAKSI Puteri Sarah selepas suaminya, Syamsul Yusof gagal mencapai kata persetujuan lafaz cerai di perkarangan Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan. FOTO Hazreen Mohamad
Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Puteri Sarah Liyana tidak menganggap tuntutan yang dibuat terhadap suaminya, Syamsul Yusof untuk proses perceraian mereka sebagai keterlaluan.

Puteri Sarah, 38, ketika ditemui di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, di sini, berkata, dia juga mengambil kira pendapat serta nasihat daripada ibu bapa kandung dan ibu bapa mentuanya.

"Mengenai tuntutan, saya sudah berbincang dengan kedua-dua mentua saya dan mereka juga tidak menolak bahawa jumlah itu sedikit. Okay saja, tak ada masalah.

"Kalau apa-apa, saya akan berbincang dengan mereka dan juga ibu bapa kandung saya. Mereka pun beritahu perkara sama bahawa ia hanya sedikit," katanya.

Menantu kepada Datuk Yusof Haslam dan Datin Patimah Ismail itu mendakwa hanya meminta jumlah yang munasabah dan memberi ruang kepada Syamsul untuk membayar secara ansuran.

"Saya tak mahu meminta lebih. Saya cuma minta sekadar yang saya rasakan munasabah dan saya tak minta dia bayar sekali gus pun, sebaliknya secara ansuran," katanya

Menurut Puteri Sarah, dia akan terus berjuang untuk menuntut hak buat kedua-dua anaknya, Syaikhul Islam dan Sumayyah.

"Dia pernah berkata, kalau ada rezeki, dia nak bagi rumah sebab rumah itu mestilah dia kena bagi untuk saya dan anak-anak. Tapi, itu pun tiba-tiba dia tak mahu bagi.

"Seperti yang pernah saya katakan, kalau nak pergi kepada isteri kedua, pergilah. Tapi, nafkah anak jangan dikurangkan," katanya.

Terdahulu, Sarah membantah kepada tindakan Syamsul yang menuntut untuk mengurangkan nafkah anak-anak serta mutaah dan enggan menarik kes yang difailkan terhadap Ira Kazar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 April 2023 @ 6:42 PM