PUTERI Sarah. FOTO arkib NSTP
PUTERI Sarah. FOTO arkib NSTP
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Peguam Syarie mewakili Puteri Sarah Liyana, Datuk Akberdin Abdul Kader memaklumkan pihaknya sudah memfailkan pembelaan nusyuz yang difailkan Syamsul Yusof terhadap anak guamnya. 

Akberdin ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur berkata, dia juga tidak dapat memastikan kehadiran Puteri Sarah di sesi hari ini. 

"Tak pasti sama ada Sarah datang atau tidak. Tapi, pihak kami sudah failkan pembelaan nusyuz," katanya kepada Harian Metro. 

Pada 6 April lalu, Puteri Sarah memaklumkan mahu memfailkan pembelaan terhadap tuntutan nusyuz dibuat Syamsul yang difailkan di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, di sini, pada 21 Mac lalu.

Bagaimanapun, Syamsul juga pengarah terkenal berkata akan menarik semula semua tuntutan itu selepas berbincang dengan isteri pertamanya itu pada 10 April lalu.

Kenyataan berkenaan dibuatnya selepas Syamsul akhirnya bersetuju akan lafaz cerai terhadap Puteri Sarah pada 18 April di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur. 

Namun begitu, perceraian terbabit tidak berlaku selepas pengarah itu enggan lafaz cerai pada tarikh dijadualkan. 

Peguam syarie mewakili Puteri Sarah, Datuk Akberdin Abdul Kader berkata, anak guamnya bertindak memfailkan tuntutan pembelaan nusyuz berkenaan selaku defendan.

Sebelum ini, Syamsul memfailkan tuntutan nusyuz terbabit dengan alasan isterinya itu masih menghubungi bekas kekasihnya yang berstatus suami orang.

Selain itu, antara alasan dikemukakan terhadap tuntutan nusyuz itu termasuk meninggalkan rumah kelamin sejak Oktober 2020, enggan mematuhi notis nusyuz dan memfitnahnya memukul serta tidak memberi nafkah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Mei 2023 @ 10:41 AM