DANIAL teruja berduet dengan Atu.
DANIAL teruja berduet dengan Atu.
BARISAN pelakon filem Sumpahan Malam Raya.
BARISAN pelakon filem Sumpahan Malam Raya.
Nur Ilyanie Hanisha Hisham


DUA pelawak popular, Atu Zero dan Danial Zaini kini tampil dengan lagu raya terbaru berjudul Jom Beraya.

Lagu terbitan Veedu Production dan lirik Waami itu dijadikan runut bunyi rasmi bagi filem Sumpahan Malam Raya, filem komedi seram arahan Prof Datuk Dr A Razak Mohaideen.

Atu berkata, dia beruntung dapat bekerjasama dengan Danial menerusi lagu itu sebagai lagu raya pertama nyanyiannya untuk filem dan di bawah edaran Sony Music Entertainment Malaysia.

"Saya beruntung kerana Danial seorang pelawak dan penyanyi yang bagus. Suaranya pun bagus, tambahan lagi dia pernah mengeluarkan lagu sebelum ini.

"Danial sudah ada penjenamaan dalam nyanyian dan ia memberi kelebihan untuk saya berduet bersama," katanya.

Apa yang menarik, mereka antara pelawak yang berjaya menghasilkan lagu raya dan ia akan memberi pengalaman bagus dalam bidang seni ini.

Atu Zero atau nama sebenarnya, Sharif Kunal Doli Sharif berkata, penceritaan di sebalik lirik lagu Jom Beraya mempunyai kaitan dengan dirinya yang juga seorang anak rantau.

Sementara itu, Danial turut teruja pertama kali berduet dengan Atu dan proses rakaman hanya mengambil masa kurang satu jam saja.

LAGU raya pertama nyanyian Atu.
LAGU raya pertama nyanyian Atu.

"Berbanding lagu-lagu lain yang pernah saya hasilkan, lagu ini mengambil masa paling singkat iaitu 30 minit saja. Kami datang ke studio, buat 'rehearsal' dalam dua jam, kemudian terus rakam," katanya.

Menurut Danial, pembikinan muzik video dilakukan ketika penggambaran filem Sumpahan Malam Raya dan ia siap dilakukan dalam tempoh dua hari.

Atu dan Danial turut membintangi filem Sumpahan Malam Raya bersama Nora Danish, Reen Rahim, Datuk Yusry Abdul Halim, Saiful Apek, Yassin Yahya, Bell Ngasri, Ropie Cecupak dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 April 2023 @ 6:20 AM