Harris Annuar bersama bayinya
Harris Annuar bersama bayinya

Kuala Lumpur: Pelakon Harris Annuar, 30, kini bergelar bapa dan berkongsi isterinya Asha Merican selamat bersalin anak sulung mereka seorang bayi perempuan pada jam 11.15 malam, semalam.

Harris memaklumkan puterinya yang dilahirkan di sebuah hospital swasta di Perlis itu dinamakan Aura Medina Mohd Harris.

"11.51PM, 26/3/23, 5 Ramadan. Alhamdulillah Ya Allah, Assalamualaikum wahai anakku Aura Medina Mohd Harris. 2.76KG Baby lato lato @ashamerican," katanya.

Harris berseloroh terimbau kejadian isterinya Asha mengidam pelbagai jenis perkara termasuk bermain lato-lato sepanjang kehamilan.

Terdahulu, Harris pernah berkongsi Asha turut mengidam untuk makan sabun menganggap sabun yang dimakan itu ada rasa 'kicking'.

Bahkan isterinya itu sempat menjilat sedikit sabun ketika sedang mandi, namun, dikumur dan tidak sempat ditelan.

Selain itu, Harris pernah memuat naik video pendek mencuit hati ketika isterinya sedang menghidu bau dinding simen kerana mengidam.

Pasangan terbabit mendirikan rumah tangga pada 12 Jun 2022 selepas empat tahun bercinta dalam diam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mac 2023 @ 2:34 PM