PUTERA Harry dan Meghan Markle. FOTO Fail AFP
PUTERA Harry dan Meghan Markle. FOTO Fail AFP
Agensi

London: Putera Harry akan 'bersatu' dengan keluarganya apabila beliau didakwa sedang melakukan persiapan untuk pulang ke United Kingdom bagi menghadiri upacara pengebumian datuknya, Putera Philip.

Duke of Sussex itu dikatakan bercakap dengan bapanya, Putera Charles berhubung perkara itu.

Ini adalah kali pertama Harry bakal berdepan dengan keluarganya sejak beliau dan isteri Meghan Markle mengeluarkan kenyataan menggemparkan dunia ketika wawancara bersama Oprah Winfrey bulan lalu.

The Sun melaporkan sumber memaklumkan bahawa Harry ada bercakap dengan beberapa ahli keluarganya susulan kematian Putera Philip, semalam.

Sumber lain mengatakan bahawa Harry bercakap dengan sepupunya Puteri Beatrice dan Puteri Eugenie yang beliau akan pulang ke Britain

Sementara itu Mirror melaporkan bahawa Harry berkata beliau mahu bersama semua ahli keluarga dan sudah membuat persiapan untuk pulang.

Bagaimanapun, tidak pasti sama ada Meghan akan turut serta pulang walaupun ada mengatakan akan berada di sisi suaminya.

Meghan, 39, yang kini sedang mengandung perlu mendapatkan nasihat doktor sebelum menaiki penerbangan 12 jam dari California.

Harry adalah Putera Diraja Britain yang melepaskan jawatan kehormat tentera dan hak keistimewaannya selepas mengesahkan kepada Ratu Elizabeth II bahawa beliau dan isterinya, Meghan Markle tidak akan kembali sebagai anggota Diraja yang bekerja.

Duke dan Duchess of Sussex, sebagaimana mereka dikenal secara rasmi, menggegarkan monarki Britain ketika mereka berhenti dari tugas barisan hadapan Diraja setahun lalu.

Sejak itu, mereka memulakan kehidupan baru yang membabitkan beberapa usaha komersial di Amerika Syarikat (AS), dan kini tinggal di California.

Harry dan Meghan dalam wawancara bersama Oprah Winfrey mendedahkan kehidupan mereka dalam Istana Buckingham yang mendapat perhatian dunia, lapor media tempatan.

Harry mendakwa, Charles yang juga pewaris Ratu Elizabeth, serta abangnya, Putera Harry, 'terperangkap' dengan konvensyen monarki.

Sementara Meghan pula mendakwa mahu membunuh diri dan menjadi mangsa rasis.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 April 2021 @ 12:48 PM