BABY Shima tampil bertudung dan mengenakan baju kurung ketika membuat persembahan di hari Israk Mikraj di Kuantan, hari ini.
BABY Shima tampil bertudung dan mengenakan baju kurung ketika membuat persembahan di hari Israk Mikraj di Kuantan, hari ini.

Kuala Lumpur: Penyanyi, Baby Shima, 30, menempelak golongan yang mencerca dirinya tanpa melihat penampilan sebenarnya ketika membuat persembahan di sebuah acara di Kuantan, Pahang, hari ini.

Pemilik nama sebenar Nor Ashima Ramli itu berkata, dia juga sedar bagaimana menghormati bulan Rejab dan sesuaikan penampilannya untuk acara itu.

"Selesai bergoyang ya habibi hari ini. Lain kali datang dulu sebelum berkata-kata. Bila Shima dapat tahu ada 'show' dan hari Israk Mikraj, Shima sendiri yang ingin tampil sebegini.

"Tapi ramai pula memilih untuk berkata-kata dulu sebelum melihat, sampai ada yang berkata Shima tidak hormat hari mulia ini iaitu hari Israk Mikraj.

"Padahal mereka belum melihat dulu penampilan yang akan Shima persembahkan di bulan yang mulia ini. Sempena Israk Mikraj ini, Shima tahu menyesuaikan diri dalam majlis tanpa disuruh sesiapa," katanya.

Menerusi hantaran sebuah klipnya membuat persembahan di Instagram, Shima begitu ayu dengan mengenakan baju kurung serta tudung berona krim.

Terdahulu, penyanyi itu mendapat tentangan hebat selepas memuat naik status memaklumkan dia akan membuat persembahan di Hari Bandaraya Mesra Komuniti, Sungai Isap Damai.

"Orang Kuantan 'ready'. Shima datang nak goyang!" tulisnya.

Status itu turut menarik perhatian Ahli Parlimen Kuantan, Wan Razali Wan Nor yang mendakwa menerima banyak aduan dan bantahan daripada masyarakat di sana.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Februari 2023 @ 5:50 PM