Bersama Fadly Samsudin

ANTARA peristiwa yang mengangkat ‘status’ dan kemuliaan Nabi Muhammad SAW berbanding nabi lain adalah Israk dan Mikraj.

Walaupun ulama berbeza pendapat mengenai tarikh sebenar bila berlakunya peristiwa berkenaan, paling penting umat Islam wajib percaya ia benar-benar berlaku.

Peristiwa luar biasa dialami Rasulullah SAW itu berlaku dalam waktu singkat iaitu pada sebahagian malam sahaja.

Kaum kafir Quraisy di Makkah ketika itu langsung tidak mempercayainya. Malah, mereka turut memperlekehnya selepas Baginda bercerita mengenai apa yang berlaku.

Bagaimanapun, Abu Bakar As-Siddiq tampil mempercayai peristiwa itu dengan penuh keimanan.

Walaupun tidak logik pada pemikiran kita, peristiwa itu jelas disebut Allah oleh SWT di dalam al-Quran.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Maha Suci Allah yang menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa yang Kami berkati sekelilingnya untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetatahui.” (Surah al-Israk, ayat 1)

Semua perkara yang Allah SWT nyatakan di dalam al-Quran, maka tidak boleh timbul sebarang keraguan mengenainya.

Peristiwa itu juga berlaku ketika Nabi SAW berada di puncak kesedihan yang sangat memerlukan sokongan.

Baginda menghadapi dua musibah iaitu kehilangan dua insan yang sangat dikasihinya iaitu kewafatan isterinya, Siti Khadijah al-Khuwailid serta bapa saudaranya, Abu Talib.

Tahun itu juga dikenali sebagai ‘Aam al Huzni’ atau tahun berduka cita. Dalam keadaan sedih itu juga Nabi SAW pergi ke Taif, namun Baginda ‘disambut’ dengan balingan batu oleh penduduk di sana.

Maka, dalam keadaan sedih bertimpa-timpa itu, Allah SWT membawa Nabi Muhammad SAW melalui peristiwa Israk dan Mikraj bertujuan untuk menghiburkan hati Baginda.

Perjalanan Israk Baginda dari Masjid al-Haram di Makkah ke Masjid al-Aqsa adalah dengan menunggang binatang bernama Buraq.

Dalam satu hadis, daripada Anas bin Malik katanya, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Aku didatangi buraq iaitu seekor binatang yang putih rupanya, panjang (tinggi) lebih besar daripada keldai, tetapi lebih kecil daripada baghal. Ia merendahkan tubuhnya hinggalah perut buraq mencecah bumi.”

Baginda bersabda lagi: “Tanpa membuang masa, aku terus menungganginya, ia melangkah kakinya cepatnya sejauh penghabisan mata memandang hinggalah sampai ke Baitul Maqdis.”

Sebaik tiba di Masjid al-Aqsa, Rasulullah SAW turun daripada Buraq lalu masuk ke dalam masjid untuk mengimamkan solat semua nabi.

Dua perkara berlaku secara langsung dalam peristiwa Israk Mikraj iaitu perjalanan pada waktu malam dari Masjid al-Haram, ke Masjid al-Aqsa serta perjalanan dari bumi naik ke langit.

Dalam peristiwa Mikraj, Baginda naik ke langit sehingga ke Sidratul Muntaha. Selepas itu, Rasulullah turun ke langit dunia, seterusnya ke Baitul Maqdis dengan menunggang Buraq dan pulang ke Makkah pada malam yang sama.

Nabi SAW juga mendapat perintah solat secara langsung daripada Allah SWT dalam peristiwa Israk dan Mikraj.

Maka, bermulalah kewajipan melaksanakan perintah solat. Baginda juga mendapat keringanan solat fardu daripada 50 kali sehari menjadi lima kali sehari semalam.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “(Selain daripada apa yang aku saksikan ketika aku dibawa Israk dan Mikraj pada malam itu), maka Allah fardukan (atasku) dan atas umatku lima puluh sembahyang, lalu aku memohon kepada-Nya (supaya dikurangkan lagi bilangan sembahyang itu yang sudahpun dikurangkan hingga tinggal lima saja), maka Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sembahyang fardu (sehari semalam) itu tetap lima (dari segi bilangannya) dan ia juga tetap lima puluh (dari segi pahalanya), keputusan-Ku itu tidak dapat diubah atau ditukar ganti.” (Hadis riwayat Bukhari)

Terdapat banyak lagi pengajaran daripada peristiwa Israk dan Mikraj. Ia bukan sekadar kisah yang diulang-ulang hanya untuk menyedapkan telinga tetapi untuk diambil pengajaran.

Selain itu, berdasarkan situasi yang berlaku terhadap Masjid al-Aqsa hari ini, pihak Zionis terus berusaha menghapuskan kesan kesucian Bandar al-Quds, selain mahu mengubah bandar itu menjadi bandar Yahudi.

Oleh itu, orang Islam di seluruh dunia wajib mempertahankan masjid al-Aqsa dan penduduk Palestin daripada penindasan pihak Zionis.

Penulis wartawan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2019 @ 8:54 AM
MASJID al-Aqsa yang menjadi saksi peristiwa Israk dan Mikraj Nabi Muhammad SAW.
MASJID al-Aqsa yang menjadi saksi peristiwa Israk dan Mikraj Nabi Muhammad SAW.