MIKRAJ merupakan perjalanan Nabi SAW dari bumi menuju ke Sidratul Muntaha.
MIKRAJ merupakan perjalanan Nabi SAW dari bumi menuju ke Sidratul Muntaha.
Dr Azri Bahri

Peristiwa israk dan mikraj merupakan peristiwa penting dalam sejarah umat Islam kerana berlaku peristiwa Nabi SAW menerima perintah Allah SWT secara langsung berkaitan ibadah solat lima waktu.

Menurut bahasa, israk bermaksud memperjalankan seseorang di waktu malam. Manakala perkataan mikraj pula bermaksud laluan ke atas atau tangga dilalui Nabi SAW dari Baitulmaqdis ke langit yang pertama dan seterusnya.

Sementara menurut istilah, israk merupakan perjalanan Nabi SAW dari Masjidil Haram di Makkah menuju Masjidil Aqsa di Palestin. Mikraj adalah perjalanan Nabi SAW dari bumi menuju Sidratul Muntaha iaitu langit ketujuh yang merupakan tempat tertinggi.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Maha Suci Allah yang menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid al-Haram (di Makkah) ke Masjid al-Aqsa (di Palestin), yang kami berkati sekelilingnya untuk memperlihatkan kepadanya tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui." (Surah al-Isra': 1)

Selain itu, firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan sesungguhnya Muhammad melihat Jibril itu (dalam rupanya yang asli) pada waktu yang lain. (iaitu) di Sidratul Muntaha. Dekatnya ada syurga tempat tinggal. (Nabi Muhammad melihat Jibril) ketika di Sidratul Muntaha diliputi oleh sesuatu yang meliputinya. Penglihatannya (Nabi Muhammad) tidak berpaling dari yang dilihatnya dan tidak (pula) melampauinya. Sesungguhnya dia telah melihat sebahagian tanda-tanda (kekuasaan) Tuhannya yang paling besar." (Surah al-Najm: 13-18)

Sebelum peristiwa israk dan mikraj, Nabi SAW ketika berdakwah di Kota Makkah telah diuji Allah SWT dengan kematian dua orang tersayang iaitu isterinya Khadijah Khuwailid dan bapa saudaranya Abu Talib serta mendapat penindasan dari kaum Quraisy.

Israk dan mikraj merupakan 'tasliyah' (hiburan) daripada Allah SWT untuk Nabi SAW yang dilanda perasaan dukacita, sehinggakan tahun tersebut disebut dengan tahun dukacita ('am al-huzn).

Terdapat pelbagai hikmah dan pengajaran boleh diambil masyarakat Islam melalui peristiwa israk mikraj untuk dijadikan panduan dan pedoman dalam kehidupan seharian.

Pertama, menzahirkan ketinggian darjat dan kedudukan hamba. Perkataan yang digunakan untuk menyebut Nabi SAW dalam ayat pertama surah al-Isra' adalah 'abdun' yang bermaksud hamba. Ini menunjukkan hamba yang benar-benar bertakwa kepada Allah SWT mendapat darjat dan kedudukan yang tinggi di sisi-Nya.

Penggunaan kata 'abdun' yang ditujukan kepada Nabi SAW juga berada dalam pelbagai ayat lain, firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan jika kamu (tetap) dalam keraguan tentang al-Quran yang Kami wahyukan kepada hamba Kami (Muhammad), buatlah satu surah yang semisal al-Quran itu dan ajaklah penolong-penolongmu selain Allah, jika kamu orang-orang yang benar."
(Surah al-Baqarah: 23)

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan bahawasanya tatkala hamba Allah (Muhammad) berdiri menyembah-Nya (mengerjakan ibadat), hampir saja jin-jin itu mendesak-desak mengerumuninya." (Surah al-Jin: 19)

Kedua, persiapan dan persediaan dalam berdakwah supaya berjiwa kental. Allah SWT mempersiapkan Nabi SAW untuk menghadapi pelbagai peringkat dakwah contohnya peringkat hijrah ke Madinah yang berlaku selepas setahun peristiwa israk mikraj ini.

Sebelum peristiwa israk dan mikraj, orang yang dicintai dan mendukung misi dakwah Bani SAW sudah meninggal dunia, selain itu berlaku penindasan kaum Quraisy semakin hebat. Ujian bertubi-tubi tersebut persiapan untuk Nabi SAW benar-benar kental dalam berdakwah.

Sewajarnya, masyarakat Islam berusaha mengambil pelajaran dan mencontohi Nabi SAW untuk tidak mudah menyerah atas ujian dan cubaan yang silih berganti dalam kehidupan.

Ketiga, menyampaikan kebenaran dan fakta walaupun sukar dan pahit. Nabi SAW dilatih untuk menceritakan peristiwa yang telah dialami sepanjang malam kepada penduduk Makkah.

Hakikatnya, ramai yang tidak dapat menerima dan mempercayai khabar yang tidak logik tersebut. Namun, kebenaran harus tetap disampaikan, meskipun terdapat banyak penolakan dan penentangan.

Keempat, menzahirkan keistimewaan Masjid al-Aqsa bagi umat Islam. Perjalanan israk Nabi SAW menuju masjid yang berada di bumi Palestin sebagai tempat transit, sebelum mikraj bertolak ke Sidratul Muntaha telah menunjukkan betapa mulia dan agung masjid tersebut.

Bahkan masjid ini pernah menjadi kiblat pertama umat Islam sebelum berpindah menghadap ke arah Kaabah. Pahala solat di Masjid al-Aqsa adalah sebanyak 500 kali ganda berbanding masjid biasa.

Kelima, menzahirkan bahawa Islam adalah agama yang suci. Ketika Nabi SAW diberi pilihan antara air susu dan khamar, lalu Nabi SAW memilih susu. Kemudian Malaikat Jibril AS menjelaskan Nabi SAW memilih kesucian sebagai isyarat bahawa Islam agama suci atau fitrah.

Keenam, kepentingan mendirikan ibadah solat. Peristiwa ini menggambarkan kepentingan solat lima waktu yang disyariatkan secara langsung di hadapan Allah SWT tanpa melalui perantaraan Malaikat Jibril AS sebagaimana syariat ibadah-ibadah yang lain.

Demikianlah antara pelbagai hikmah dan pengajaran yang dikupas dan dihuraikan para ulama dalam meneliti peristiwa israk dan mikraj dalam kitab sirah muktabar. Masyarakat Islam sewajarnya mengambil ibrah di sebalik peristiwa israk dan mikraj sebagai contoh untuk diaplikasikan dalam kehidupan seharian.

Penulis Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Februari 2023 @ 7:00 AM