RAIHAN akan menemui peminat menerusi Konsert Garis Masa.
RAIHAN akan menemui peminat menerusi Konsert Garis Masa.
Ridzuan Abdul Rahman


PERISTIWA penting Israk Mikraj adalah salah satu kekuasaan yang ditunjukkan Allah SWT kepada umat Islam.

Israk Mikraj yang disambut pada 27 Rejab setiap tahun dimuliakan sambutannya dengan pelbagai keraian termasuk ceramah atau festival bersifat kerohanian yang mengandungi pengisian berkaitan.

Secara ringkasnya, Israk bermaksud perjalanan Nabi Muhammad SAW dari Masjidil Haram di Makkah ke Masjidil Aqsa di Palestin dengan menunggang buraq, manakala Mikraj pula merujuk kepada pergerakan baginda dari Masjidil Aqsa ke Sidratulmuntaha.

Peristiwa itu dimuatkan dalam al-Quran menerusi Surah al-Isra', ayat 1 dan Surah an-Najm, ayat 13 hingga 18.

Mengambil sempena dengan perjuangan perjalanan Rasulullah SAW, WNS Marketing Sdn Bhd bersama Musollah Aisya & Ribath Fatimah Az Zahra mengambil inisiatif menganjurkan Festival Cahaya Israk Mikraj.

Kumpulan nasyid terkenal Raihan menjadi 'kunci' kepada festival ini menerusi Konsert Garis Masa Raihan yang sudah lama dinantikan peminat.

Konsert yang sepatutnya berlangsung di Stadium Malawati Shah Alam pada 26 November tahun lalu yang ditunda ke tahun ini, dijadualkan berlangsung pada 18 Februari ini di lokasi yang sama.

Konsert Garis Masa Raihan akan diisi dengan untaian lagu yang berjaya mengharumkan nama Raihan di seluruh dunia.

Anggotanya Che Am berkata, Raihan yang tampil menerusi album sulung Puji-Pujian pada 1996, berjaya menjadi kumpulan nasyid yang berpengaruh di Malaysia dan luar negara.

"Sejak itu Raihan sudah melalui perjalanan yang panjang dengan turun naik, keluar masuk anggota dan kematangan muzik.

"Di sepanjang garis masa yang dilalui Raihan, kami bersyukur kerana peminat tidak pernah meninggalkan kami. Raihan sentiasa mendapat sokongan daripada semua. Sebab itu konsert kami pada kali ini dinamakan sebagai Konsert Garis Masa Raihan.

"Lebih istimewanya juga ia menjadi acara kemuncak dalam festival Cahaya Israk Mikraj yang dianjurkan bersempena memperingati perjalanan Rasulullah SAW ini, manakala ia turut mempunyai segmen lainnya pada sebelah siang," katanya.

Raihan menjanjikan sebuah konsert yang akan terus menyuburkan rasa cinta dan kasih sayang terhadap Islam dan perjuangan Rasulullah SAW.

"Kami akan mendendangkan lagu-lagu hits antaranya Syukur, Iman Mutiara, Senyum dan Sesungguhnya yang cukup ikonik dengan Raihan," katanya.

Konsert ini akan turut dihadiri tokoh Islam, Habib Ali Zainal Abidin dan Habib Jamal Toha Ba'agil serta Sidi Abu Anas Abu Jaish dalam slot khas yang disediakan.

Slot pembukaan pada malam terbabit menyaksikan Habib Ali Zainal Abidin, Habib Jamal dan Datuk Amy Search akan tampil memeriahkan lagi konsert

berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 January 2023 @ 6:42 AM