AKTIVIS cuba menyekat jalan utama peneroka Yahudi di Tebing Barat sebagai tunjuk perasaan terhadap penyitaan tanah Palestin.
AKTIVIS cuba menyekat jalan utama peneroka Yahudi di Tebing Barat sebagai tunjuk perasaan terhadap penyitaan tanah Palestin.
Nadir Al-Nuri

Minggu lalu umat Islam menyambut perayaan yang sangat signifikan dengan Masjid Al-Aqsa dan pembebasannya iaitu ulang tahun peristiwa Israk dan Mikraj.

Saya selalu menyebutkan dalam siri diskusi dan perkongsian bahawa ayat pertama surah al-Isra' yang menceritakan perjalanan Nabi Muhammad SAW dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa bukan semata-mata perincian tarikh dan peristiwa, tetapi adalah tanda permulaan dan pengakhiran perjuangan kebangkitan Islam.

Ini kerana ada ulama yang menafsirkan ayat itu sebagai menandakan dua titik besar – permulaan Islam di Masjidil Haram dan kegemilangannya semula yang perlu menjadikan Masjid Al-Aqsa sebagai kompasnya.

Sebab itu, saya sebutkan kalau Kaabah adalah kompas kerohanian, maka Al-Aqsa adalah kompas kesatuan dan perjuangan ummah.

Peristiwa Israk dan Mikraj juga menjadikan salah sebuah lokasi di Masjid Al-Aqsa sangat penting sehingga ia menjadi tajuk kebangkitan dan revolusi. Lokasi ini ialah Tembok Buraq, tempat Rasulullah SAW mengikat makhluk dari syurga yang ditungganginya sebelum Baginda SAW diangkat ke langit.

Ratusan tahun selepasnya apabila bumi suci milik umat Islam ini cuba dirampas penjajah British dan Yahudi, tembok ini mencetuskan kemarahan dan menjadi saksi pertumpahan darah. Ia berlaku dalam peristiwa Revolusi Al-Buraq pada 1929.

Revolusi Al-Buraq mencetuskan pemberontakan umat Islam di seluruh wilayah Palestin pada 15 hingga 30 Ogos 1929 untuk mempertahankan hak Muslim di Tembok al-Buraq.

Pemberontakan itu bermula ketika perselisihan faham timbul antara Muslim dan Yahudi berkaitan tembok berkenaan.

Pada Hari Pengampunan Yom Kippur, orang Yahudi membawa objek bersama mereka dan meletakkannya berdekatan tembok sebagai sebahagian upacara keagamaan. Hal ini menyebabkan pertembungan di antara orang Islam dan Yahudi.

Pada 1 November 1928, umat Islam mengadakan Kongres Muslim di Al-Quds untuk menentang sebarang percubaan pemberian hak kepada Yahudi di Tembok Al-Buraq. Akibatnya, suruhanjaya siasatan dihantar ke al-Quds dan laporan mereka yang dikenali sebagai Surat Putih diserahkan.

Surat itu mencadangkan perlunya mempertahankan 'status quo' keadaan asal iaitu pengekalan identiti Muslim di Tembok al-Buraq.

Orang Yahudi tidak bersetuju dengan isi kandungan Surat Putih itu lalu menekan pemerintah Inggeris menyebabkan pemerintah Inggeris mengeluarkan kenyataan pada Oktober 1929 untuk menafikan laporan berkenaan.

Kerana sikap berat sebelah Inggeris yang memihak kepada Zionis tanpa mempertimbangkan hak umat Islam, revolusi meletus menentang pemerintah Inggeris dan Yahudi di Al-Quds dan bandar Palestin yang lain.

Pertembungan itu mengakibatkan kematian 133 orang Yahudi dan 91 orang Arab dengan tiga daripadanya beragama Kristian manakala 339 orang Yahudi dan 181 orang Arab yang cedera. Sebilangan besar kecederaan orang Arab disebabkan oleh tindakan tentera dan polis Britain.

Revolusi itu juga menyebabkan kemusnahan penuh kepada enam penempatan Yahudi. Akibat daripada pergolakan Al-Buraq, 792 orang Arab dihukum dan 20 daripada mereka dijatuhi hukuman mati.

Manakala, dalam kalangan orang Yahudi, 91 dijatuhkan hukuman penjara dan hanya seorang yang dijatuhkan hukuman mati kerana membunuh keluarga Arab iaitu Abu Kabir di Yaffa.

Orang Arab mempertikaikan hukuman mati di Majlis King's Privy di London dan hukuman itu diubah menjadi hukuman seumur hidup kecuali tiga orang Arab, Fu'ad Hassan Hijazi, Mohammed Khalil Jamjoom dan Ahmad Ata Al-Zir yang dihukum mati.

Revolusi Al-Buraq adalah rentetan dan siri kebangkitan penduduk Arab asal beragama Islam dan Kristian mempertahankan bumi Palestin lama sebelum peristiwa Nakbah pada 1948.

Ia menandakan penentangan bersepadu sudah wujud sejak awal lantas menafikan propaganda bahawa penduduk Palestin meninggalkan tanah dan rumah mereka secara sukarela dan kefahaman yang malangnya dipungut sebahagian rakyat Malaysia sendiri bahawa rumah penduduk Palestin diduduki Zionis melalui tindakan undang-undang Law of Abscence 1951 kerana ia ditinggalkan penghuni asal.

Peristiwa seperti ini perlu dikongsikan supaya ummah sedar bahawa setiap kali menyambut Israk Mikraj, kebangkitan perlu dicetuskan semula dan jalan ke arah pembebasan perlu disusun dengan semangat dan perancangan yang baharu.

Penulis adalah rakyat Malaysia tunggal menetap di Palestin. Beliau boleh dihubungi melalui WhatsApp +60135132140 untuk pertanyaan dan kerjasama. Salurkan sumbangan ke Tabung Kecemasan Covid-19 melalui akaun Persatuan Cinta Gaza Malaysia Maybank 564810507826.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mac 2021 @ 7:01 AM