Hairulazim Mahmud


Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak berkata, kerohanian dan teknologi adalah dua bidang yang tidak dapat dipisahkan dalam usaha membangunkan negara ini.

Perdana Menteri berkata, mengambil semangat peristiwa Israk dan Mikraj, usaha sebaik mungkin dilakukan supaya Malaysia menjadi sebuah negara contoh dalam meneruskan status sebagai ‘khaira ummah’ sebagaimana yang diwarisi selama ini.

Kata beliau, di samping Program Transformasi Nasional yang berjalan dengan baik, Indeks Syariah Malaysia turut dilancarkan untuk mengukur pencapaian negara.

“Saya melihat peristiwa Israk dan Mikraj ini mempunyai dua sisi yang menarik iaitu sisi kerohanian dan sisi teknologi.

“Peristiwa ini sangat mengujakan walau daripada dimensi mana kita membicarakannya, oleh itu, saya percaya, dalam usaha kita membangunkan Malaysia ini, kedua-dua bidang ini perlu diberikan perhatian dan dijadikan asas pembangunan dan kemajuan negara.

“Insya-Allah, bagi memperkasakan lagi bidang pendidikan dan pembangunan sumber modal insan negara, kerajaan membangunkan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara bagi menjayakan impian kita untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang moden, maju dan berpendapatan tinggi, namun masih kental berpegang dengan jati diri dan nilai kita yang tersendiri,” kata beliau.

Beliau berkata demikian melalui Perutusan Israk dan Mikraj 1437/2016 dalam blog NajibRazak.com, semalam sempena peristiwa penting dalam sirah Islam iaitu perjalanan Rasulullah SAW dari Makkah ke Masjid Al-Aqsa sebelum baginda diangkat oleh Allah ke Sidratul Muntaha.

Dalam pada itu Najib berkata, peristiwa Israk dan Mikraj jelas menggambarkan betapa kemuliaan Nabi Muhammad SAW di sisi Allah SWT.

Sehubungan itu sebagai umat baginda, menjadi pewaris kepada kemuliaan dan rahmat yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.

“Disebabkan itulah, kita merancang dengan sebaik mungkin untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang maju dan makmur,” kata beliau.

Beliau berkata, kemakmuran itu sudah tentu untuk dikecapi dan dinikmati setiap rakyat Malaysia tanpa mengira perbezaan warna kulit, bahasa mahupun kepercayaan.

Tegas beliau, kemajuan berkenaan mestilah menyeluruh dengan meliputi setiap inci bumi tanah air yang tercinta ini sama ada di Semenanjung mahupun Sabah dan Sarawak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mei 2016 @ 9:11 AM