SYAFIQ Farhain
SYAFIQ Farhain
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur : Penyanyi juga pegawai bomba, Syafiq Farhain, 29, mengakui dia menjadi vokalis Iklim hanya untuk projek 'featuring' dua lagu baharu bersama kumpulan rock legenda itu yang akan dilancarkan tahun depan.

Syafiq atau nama sebenarnya, Nursyafiq Farhain A M Salim berkata, dia masih lagi bergerak sebagai penyanyi solo dan kemunculannya itu sama sekali bukan bagi menggantikan vokalis Iklim, Azmani.

"Saya tiak gantikan tempat abang Azmani sebagai vokalis Iklim. Pembabitan saya hanya untuk bekerjasama dalam projek 'featuring' dengan Iklim bagi dua lagu istimewa yang akan dirakam dan dilancarkan tahun depan.

"Tawaran kerjasama ini pun saya dapat kira-kira dua bulan lalu dan ia masih di peringkat awal iaitu susunan lagu. Apapun, ini projek yang istimewa buat saya untuk peminat-peminat Iklim," katanya ketika menghubungi Harian Metro.

Terdahulu, menerusi hantaran pemilik akaun TikTok dikenali Kamarul Ab Rahman, berkongsi foto Syafiq bersama empat ahli kumpulan Iklim iaitu Mohalim, Umarul, Huzali dan Kama yang tular di media sosial.

"Iklim 2023... Umarul (gitar), Huzali (keyboard), Mohalim (ketua/bass), Kama (dram) dan Syafiq (vokalis)," tulisnya ringkas sebagai kapsyen.

Vokalis Iklim iaitu Azmani yang menggantikan posisi arwah Saleem sebelum ini, bagaimanapun didapati tiada di dalam hantaran foto berkenaan yang berlatar belakang lagu Iklim, Firasat Kasihku.

Mengulas juga komen positif netizen yang menyambut baik pembabitannya bersama Iklim, Syafiq berkata, dia berterima kasih di atas sokongan dan kata-kata semangat yang diberikan itu.

"Terima kasih banyak kepada yang sudah menuliskan komen yang baik-baik itu dan ia menjadi pembakar semangat buat saya untuk kerjasama dengan Iklim ini nanti.

"Saya akan cuba buat yang terbaik dalam proses rakaman dua lagu itu kerana menariknya ia tetap mengekalkan air lagu dan identiti asal Iklim yang mungkin dirindui peminat selama ini," katanya.

Syafiq yang juga anak kandung Allahyarham Saleem Iklim turut disifatkan netizen amat sesuai menyertai kumpulan Iklim sebagai vokalis kerana suaranya cukup sinonim dengan arwah bapanya itu.

Aktif menyanyi di aplikasi Smule sekitar 2016, Syafiq pernah popular dengan lagu Sayang Maafkan Aku, termasuk meraih gelaran naib juara program Big Stage musim pertama pada 2018 lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Disember 2023 @ 1:36 PM