Rudy Imran Shamsudin


Digugurkan daripada membintangi drama bersiri Laluna kerana masalah disiplin diikuti kontroversi rakaman video berhibur bersama pelakon baru sehingga menampakkan sebahagian payudara, ramai beranggapan kerjaya lakonan Fathia Latiff bakal berakhir dan musnah.

Apatah lagi produksi Ten View Sdn Bhd yang menerbitkan Laluna mendakwa Fathia memberi masalah kepada produksi apabila sering lewat tiba di lokasi penggambaran.

Fathia sendiri mengakui setakat ini pihak pengurusannya belum menerima apa-apa tawaran secara rasmi tetapi membabitkan cakap-cakap mulut.

Katanya, dia kini berada di Surabaya, Indonesia bagi menguruskan projek yang dikendalikan sempena bazar Mood Republik pada 6 Oktober ini.

“Saya percaya rezeki di tangan Tuhan. Walaupun sebagai manusia kita sentiasa takut akan kehilangan rezeki atas perbuatan yang pernah kita buat yang pada pandangan masyarakat ia memberikan implikasi buruk, tetapi rezeki itu sudah ditetapkan andai ia milik kita ia tetap menjadi milik kita.

“Saya juga selalu mengingatkan diri rezeki banyak ruang dan cabang. Sebelum pelbagai isu membabitkan diri saya timbul, saya bukan saja selebriti tetapi juga ahli perniagaan dan duta produk jadi pada saya rezeki insya-Allah ada di mana-mana saja.

“Saya percaya bila kita sentiasa sabar dan reda dengan ketentuan, Allah akan letak rezeki untuk kita. Cuma dalam waktu sama, sebagai manusia kita kena berusaha,” katanya.

Kata Fathia, apa yang berlaku membabitkan drama Laluna itu sudah dianggap sebagai bukan rezeki dan percaya mungkin pada masa akan datang ada tawaran jauh lebih baik daripada itu.

“Saya sebenarnya memang keberatan mahu menerima tawaran membintangi Laluna pada peringkat awal tetapi selepas dipujuk, saya buat juga demi kawan-kawan. Sebenarnya memang sudah tertulis bukan rezeki saya,” katanya.

Fathia akui apa yang berlaku memberi pengajaran. Katanya, sejak dulu sewaktu membabitkan diri dalam lakonan dia biasa bekerja dengan beberapa produksi yang memahami diri dan cara kerjanya.

“Hendak kata buat syarat selepas ini, sebenarnya saya seperti pelakon lain akan melihat watak perwatakan, jalan cerita, pengarah dan produksi mana sebelum ini.

“Tiada apa pun perubahan atau syarat untuk saya bekerja. Cuma selesa bekerja dengan rumah produksi yang memahami saya agar memudahkan kedua-dua pihak,” katanya.

Dalam pada itu, tidak semua produksi takut bekerjasama dengan Fathia terutama yang pernah bekerjasama dengan Fathia sebelum ini.

Zeel Production sebelum ini beberapa kali menggunakan khidmat Fathia, menyatakan pihaknya tetap mahu bekerja dengan Fathia bagi menjayakan drama bersiri yang dirancang, Sara Sajeeda. Perkara itu dikongsi produsernya, Fadzil Teh melalui laman sosial miliknya.

Kata Fadzil, sebelum ini produksinya beberapa kali menggunakan khidmat Fathia untuk menjayakan drama dan puas hati dengan lakonan Fathia yang berjaya menghidupkan jalan cerita.

“Kalau setakat bercakap mengenai pelakon tidak berdisplin dan datang lewat ke lokasi, ia bukan saja membabitkan Fathia malah ada artis baru dan sedang mencipta nama pun begitu.

“Cuma apabila bercakap mengenai Fathia, satu perkara yang saya akui kebagusannya adalah apabila sampai saja di lokasi penggambaran, dia akan memberikan komitmen sepenuhnya. Saya suka dia menjayakan satu-satu karakter sangat profesional,” katanya.

Sebagai penerbit, katanya kadang-kadang isu atau masalah ditimbulkan artis harus ditangani sebaik mungkin memandangkan mereka manusia dan bukan mesin.

“Pada saya, kalau pelakon buat hal dengan tidak datang ke set sampai tiga atau 10 hari, itu memang melampau tetapi kalau setakat datang lambat itu biasa. Apa yang penting, seperti Fathia apabila sampai saja ke lokasi dia akan memberikan tumpuan 100 peratus.

“Kalau kata artis buat perangai, sebagai penerbit saya sudah lali dengan perkara seperti itu. Kalau mereka tidak buat perangai bermakna mereka bukan artis, baik dia jadi kerani atau bekerja di bank kalau mahu hidup teratur dan kerja ikut masa.

“Kepada penerbit, perkara seperti ini dugaan dan mendepaninya kena banyak bersabar,” katanya.

Kata Fadzil, penerbit perlu beralah kerana mahu menjual produk serta memastikan drama dihasilkan memperoleh rating tinggi sekali gus membantu stesen mendapat pulangan sewajarnya.

“Saya sudah bekerja dengan Fathia sejak dulu dan pernah membawanya berlakon di luar negara. Segalanya berjalan dengan baik. Cuma satu perkara ingin saya katakan kepada Fathia, apabila penerbit dan stesen TV masih memberi ruang kepadanya untuk terus berkarya harap dia tidak mensia-siakan peluang.

“Tambah pula dia semakin matang dan berusia. Apabila isu ini timbul, ternyata masih ramai sayangkan dia. Pesan saya, apabila orang sayang janganlah buat hal, takut kelak kalau orang menyampah waktu itu sudah tidak berguna lagi segala usaha,” katanya.

Tegas Fadzil, sebagai artis, seharusnya mereka perlu hidup dalam hipokrasi kerana kedudukan dan status mereka yang sering menjadi tumpuan umum.

“Sebaiknya golongan artis tidak terlalu berkongsi kegiatan dan aktiviti peribadi mereka dengan umum di laman sosial,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Oktober 2017 @ 2:49 AM