FADZIL Teh. FOTO Arkib NSTP
FADZIL Teh. FOTO Arkib NSTP
Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Penerbit drama, Fadzil Teh berharap kerajaan membenarkan syarikat-syarikat produksi untuk kembali menjalani penggambaran selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 berakhir pada 4 Februari ini.

Fadzil yang juga pemilik syarikat produksi Zeel Production Sdn Bhd berkata, pihaknya bersedia untuk mengikuti segala prosedur operasi standard (SOP) baharu yang ditetapkan kerajaan bagi memastikan penggambaran berjalan dengan lancar.

"Kami sedia maklum mengenai peningkatan kes positif Covid-19 di negara ini, namun kami memohon sedikit kelonggaran supaya kerajaan membenarkan penggambaran dapat disambung semula selepas PKP 2.0 berakhir. "Selain dapat membantu tenaga kerja belakang tabir yang hilang punca pendapatan, kami juga ingin menyiapkan baki penggambaran drama yang tertangguh selepas pengumuman PKP baru-baru ini.

"Kami juga ingin membantu pihak stesen televisyen yang tidak mempunyai drama baharu untuk ditayangkan kepada penonton beberapa bulan akan datang," katanya.

Menurut Fadzil, pihaknya bersedia dengan SOP yang lebih ketat sekiranya penggambaran dapat beroperasi semula.

"Saya percaya sekiranya kerajaan membenarkan penggambaran beroperasi semula, kami akan pastikan setiap pelakon dan pekerja belakang tabir untuk mematuhi segala SOP baharu yang dikeluarkan.

"Kami juga akan mengawal lokasi penggambaran agar tidak melakukan penggambaran di tempat terbuka sebaliknya lebih kreatif untuk menyiapkan babak-babak tertentu.

"Saya harap pihak kerajaan dapat mempertimbangkan kelonggaran ini kerana kami percaya penonton inginkan hiburan untuk mereka nikmati sepanjang berada di rumah," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Zakaria Abdul Hamid berkata, pihaknya faham dan prihatin dengan kegelisahan penggiat seni berikutan PKP 2.0 hingga kerja penggambaran terhenti.

Zakaria berkata, dia tahu ada beberapa penerbit kecewa dengan penangguhan itu, namun mereka juga mendapatkan pandangan dalam kalangan pelakon dan petugas balik tabir yang bimbang penggambaran boleh menyebabkan mereka dijangkiti Covid-19.

"Kami sedia maklum dengan masalah itu. Finas juga sudah menyiapkan beberapa pelan cadangan program inisiatif bagi meringankan beban petugas balik tabir untuk dikemukakan kepada kerajaan," katanya.

Zakaria turut menyeru supaya semua penggiat seni yang terkesan dapat bersabar dalam menghadapi krisis ini.

"Bukan kita sahaja yang menanggung bebanan ini, tetapi semua sektor dalam negara turut terkesan. Kami sentiasa terbuka menerima aduan, rayuan dan pandangan membina demi kelangsungan hidup bersama," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 January 2021 @ 3:24 PM