FAREED (kiri) menjadikan Sabhi (kanan) sebagai idolanya. FOTO Instagram Sabhi Saddi dan FareedPF
FAREED (kiri) menjadikan Sabhi (kanan) sebagai idolanya. FOTO Instagram Sabhi Saddi dan FareedPF
Norhayati Nordin


PELAKON dan penyanyi yang juga anggota kumpulan One Nation Emcees (ONE), Sabhi Saddi mendedahkan tidak ramai yang tahu hubungan adik-beradik di antaranya dengan FareedPF.

FareedPF atau nama sebenar Fareed Saddi adalah anggota kumpulan Hip Hop popular masa kini dan tular di media sosial yang berasal dari Sabah, K-Clique.

Sabhi, 35, berkata meskipun Fareed ada kelulusan dalam undang-undang dan komunikasi massa tetapi dia lebih memilih mahu menjadi selebriti serta menceburi kerjaya seni.

"Sejak dulu lagi, Fareed menjadikan saya sebagai idolanya dan perkara ini memang pernah diakuinya kepada bapa kami.

"Bapa pernah bertanya kepada Fareed kenapa dia minat menjadi selebriti dan jawapannya dia mahu mengikut jejak abang.

"Saya dan Fareed, kami memang memiliki minat sama iaitu tarian dan menceburi kerjaya seni," katanya.

Mengulas mengenai hubungan adik-beradik yang mula didedahkan dan menjadi perhatian, Sabhi berkata, ia lumrah apabila seseorang selebriti semakin dikenali ramai.

"Selain saya yang kini giat bertarung di pentas Gegar Vaganza musim keenam (GV6) bersama ONE, Fareed pula sudah tentu popular dengan lagu Mimpi bersama K-Clique.

"Apatah lagi, K-Clique kini tular di media sosial dan sudah berjaya mengumpul kelompok peminatnya yang tersendiri," katanya.

Sabhi berkata, dia dan Fareed sentiasa menyokong di antara satu sama lain meskipun genre muzik mereka berbeza.

Mengulas persaingan ONE dalam GV6 pula, Sabhi berkata, menjadi impian kumpulannya mahu sentiasa membuat persembahan terbaik dan layak berentap ke peringkat akhir yang dijangka pada 1 Disember nanti.

"Kini, fokus utama ONE adalah persaingan peringkat semi final pada Ahad ini. Kami akan berusaha memberi persembahan terbaik.

"Terus-terang, saya katakan sasaran ONE kini untuk kami layak ke final GV6. Kami mahu menang," katanya.

Sabhi berkata, tipulah bagi penyanyi yang bertanding secara individu atau berkumpulan tidak ada keinginan bersaing di pentas akhir.

"Peluang tidak datang selalu dan untuk mendapatkannya bukan mudah. Jadi, ONE harus membuat yang terbaik.

"Bagi saya sendiri, akan pastikan memberi 200 peratus komitmen dan persembahan terbaik untuk semi final nanti," katanya.

Mengulas mengenai keadaan kesihatannya, dia memang mempunyai masalah sakit tulang belakang (slip disc) dan ia tidak dijadikan penghalang.

Katanya, sakit itu adalah ujian daripada Allah. Baginya, dia lebih selesa berfikiran positif dan berusaha bersama ONE selagi masih ada peluang.

Selain Sabhi, ONE dianggotai Mimi Fly, Jojo Fly dan Kozae yang kini masih kekal bersaing di GV6.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 November 2019 @ 8:16 PM