HAEL masih setia bekerjasama dengan Ezra untuk single terbaharu bergenre pop moden.
HAEL masih setia bekerjasama dengan Ezra untuk single terbaharu bergenre pop moden.
Norhayati Nordin


KOMBINASI ilham antara penyanyi Hael Husaini dan komposer terkenal, Ezra Kong dalam penciptaan lagu bukan perkara baharu. Apatah lagi, mereka pernah sama-sama mencetus fenomena dengan lagu Jampi pada 2017.

Meskipun, hingga kini sudah banyak lagu mereka ciptakan bersama, namun Hael, 34, masih setia dan selesa bekerjasama dengan Ezra untuk single terbaharu yang berjudul Sayang Do You Love Me? (SDYLM?).

Memilih genre pop moden, Hael atau nama sebenar, Hal Husaini Ramzi berkata, dia yakin karya itu menepati cita rasa peminatnya dan penggemar muzik tanah air. Jelasnya, gubahan lagu SDYLM? juga agak santai.

"Sejujurnya walaupun sibuk saya masih mahu berkarya dan single SDYLM? ini adalah buktinya. Saya dan Ezra inginkan suatu karya ringan dan santai untuk pendengar muzik kami persis single Kelentang-Kelentong sebelum ini.

"Alhamdulillah saya sangat bersyukur apabila single Kelentang-Kelentong diterima baik dan mendapat sambutan hebat pendengar. Ia sekali gus menjadi pemangkin semangat untuk kami.

"Tak dinafikan formula yang digunakan untuk single SDYLM? ini tidak banyak beza iaitu mesra media sosial. Di mana kami bayangkan, lagu ini diguna sebagai bunyi latar bagi video dimuat naik di media sosial," katanya.

Mengulas kisah di sebalik single SDYLM?, Hael berkata, lagu itu menceritakan kisah percintaan sepasang kekasih yang ada pahit manis dan gurau senda antara mereka dengan mesej ringkas untuk pendengar berhibur.

"Saya mahu pendengar gembira dengan lagu ini. Jadi, sebab itu saya masih mengekalkan genre pop moden. Cuma pada kali ini saya memilih untuk muziknya santai-santai dan 'chill' didengar.

"Sebenarnya saya mula merakamkan lagu ini (SDYLM?) selepas single Sama Seperti Dulu dilancarkan. Saya berbincang dengan Ezra dan kami sepakat memilih lagu ini untuk disiap dan dirakamkan sebagai single terbaharu.

"Mujur juga segala proses susunan muzik dan rakaman dilakukan sepenuhnya di studio rakaman milik Ezra. Jadi, segala urusan kerja yang kami sudah aturkan itu dibuat dengan lancar," katanya.

Hael berkata, dia juga setakat ini tiada perancangan menghasilkan muzik muzik video bagi single SDYLM? ini. Menurutnya, dia bersama syarikat rakaman Rocketfuel hanya melancarkan lirik video rasmi dulu.

Jelasnya lagi, kalau sambutan terhadap single SDYLM? menggalakkan daripada pendengar, mungkin dia akan memikirkan untuk penghasilan muzik video. Bagaimanapun, semuanya boleh dibincang dan dirancang.

Tidak hanya itu, Hael juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terutama peminatnya yang memahami dan terus menyokong walaupun konsert solonya Hael Husaini Live In KL terpaksa ditangguhkan dulu.

Apa yang pasti, single SDYLM? kini boleh dimuat turun di iTunes dan dijadikan sebagai nada dering panggilan. Ia juga boleh dinikmati pendengar melalui aplikasi penstriman seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan YouTube Music.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Disember 2022 @ 6:46 AM