MOKHZANI bercakap ketika sidang media malam Anugerah Juara Lagu 37 di Axiata Arena Bukit Jalil. FOTO Aziah Azmee
MOKHZANI bercakap ketika sidang media malam Anugerah Juara Lagu 37 di Axiata Arena Bukit Jalil. FOTO Aziah Azmee
Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Ketua Juri Anugerah Juara Lagu 37 (AJL37), Datuk Mokhzani Ismail menjelaskan jurang markah antara lagu Terus Hidup nyanyian Aina Abdul dan Satu Malam Di Temasek nyanyian Joe Flizzow dan SonaOne, hanya dua mata yang memisahkan mereka untuk kedudukan sebagai juara dan tempat kedua program terbabit. 

Menurutnya, yang membezakan kedudukan mereka ialah melodi lagu yang menyebelahi Aina, manakala kreativiti pula memihak kepada Joe Flizzow dan SonaOne.

"Lirik kedua-duanya pula sangat kuat. Terus Hidup dan juga Semalam Di Temasek mengisahkan tentang kehidupan dan kematian. Dari segi vokal pula ada dua, di dalam album dan persembahan di atas pentas.

"Kalau kita tengok, Aina dinobatkan sebagai Vokal Terbaik, itu adalah antara faktor-faktor yang mengangkat markahnya jadi lebih sedikit. Jurang markahnya dengan Joe Flizzow dan SonaOne hanya dua markah sahaja.

"Pemenang tempat ketiga pula, apabila kita lihat ada tujuh lagu balada, kita cuba cari kelainan yang dapat diangkat dan kita lihat naskhah yang dibawakan oleh lagu Anugerah Terindah nyanyian Alif Satar & The Locos jadi pilihan," katanya pada sidang media semalam. 

AJL 37 menyaksikan penyertaan  tujuh lagu yang mempunyai genre pop balada. Satu lagu R&B, dua hip hop dan dua lagu etnik kreatif. 

Mokhzani berkata, mereka tidak ragu-ragu mengangkat Aina Abdul kerana melihat persembahan 'live' dan albumnya ada sedikit perbezaan.

"Garapan yang dibuat oleh Jenny Chin bukannya mudah dan kalau kita kaji diakhirnya ada 'progression chord' yang akan menjerat Aina. Tetapi 'part-part' demikian telah disampaikan oleh Aina dengan berjaya.

"Kami sebulat suara mengangkat dia menjadi juara dengan tanpa menidakkan kekuatan lagu Semalam Di Temasek yang hadir dalam satu naskhah yang bersifat luar biasa. Kami pun tak boleh berfikir komposer dapat keluarkan idea sebegitu rupa.

"Begitu juga Persembahan Terbaik dari Shiha Zikir yang mempunyai markah yang paling tinggi. Begitu juga Naim Daniel pun tak kurang hebatnya," katanya. 

Mengulas lanjut mengenai markah lagu Alif Satar & The Locos dengan peserta tangga keempat iaitu Marsha juga amat dekat tetapi mereka memilih tiga yang terbaik sahaja.

"Aina diangkat sebagai juara dan apabila dia diangkat sebagai Vokal Terbaik, dah tentunya dia akan jadi juara. Kami semua amat berpuashati dengan kemenangan ini.

"Kami menjurikan vokal terbaik berpandukan kepada lagu sebenarnya. Macam Ernie mungkin dia boleh buat lebih lagi. Suaranya sangat hebat.

"Tapi apabila dia datang dengan karyanya yang mungkin tak dapat menonjolkan keseluruhan kekuatan vokal. Mungkin Aina Abdul yang gubahannya dibuat lain, dapat melaksanakan dengan baik," katanya.

Menurutnya, persembahan Marsha juga bagus tetapi apabila terlalu banyak menjerit ia sebenarnya sesuatu yang boleh memerangkap dan mengganggu keselesaan persembahannya. 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Februari 2023 @ 1:18 PM